Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Peniaga, penduduk ZBC Pengkalan Kubor bantah parkir berpalang MDT

Sejak beroperasi kira-kira 39 tahun lalu, peniaga di pusat perniagaan Zon Bebas Cukai (ZBC) Pengkalan Kubor, Tumpat, kebiasaannya hanya menutup perniagaan dua hari dalam setahun iaitu pada sempena Aidilfitri dan Aidiladha.

Namun, hari ini hampir 150 peniaga di situ 'melanggar' ketetapan tersebut apabila menutup perniagaan masing-masing sebagai tanda protes.

Langkah itu diambil ekoran kekecewaan mereka terhadap isu penetapan bayaran parkir oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan berkuat kuasa 1 April depan.

Pengerusi Persatuan Peniaga ZBC Pengkalan Kubor, Halim Hussin, berkata mereka tampil menyatakan bantahan terhadap inisiatif Majlis Daerah Tumpat (MDT) itu kerana bakal memberi banyak kesan negatif.

Katanya keputusan MDT itu juga tidak adil bukan saja kepada peniaga bahkan penduduk di kawasan terbabit.

Menurutnya, pelaksanaan bayaran sistem parkir berpalang di pintu masuk dan keluar kawasan tumpuan pelancong itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk khususnya pada waktu puncak.

"Jika sekarang pun pengunjung berdepan kesesakan sekitar satu kilometer di laluan masuk utama, keadaan akan bertambah teruk selepas bayaran parkir berkuat kuasa April nanti.

"Kami jangka kesesakan akan lebih teruk pada waktu puncak seperti hujung minggu atau hari cuti umum.

"Jika keadaan sedemikian berlaku, sudah tentu akan memberi kesan dari segi kehadiran pengunjung dan dibimbangi menjejaskan perniagaan di kawasan ini," katanya pada sidang media di rumahnya di Pengkalan Kubor, hari ini.

Lebih 50 ahli persatuan turut hadir bagi menyatakan kebersamaan mereka selepas rancangan untuk berpiket secara aman di kawasan premis perniagaan terbabit tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Perlu tanggung kos harian

Mereka turut berkumpul sambil melaungkan kata-kata bantahan selain mengangkat sepanduk dengan pelbagai reaksi ditujukan kepada MDT, wakil rakyat dan kerajaan Kelantan.

Halim berkata, persatuan terbabit juga kesal apabila MDT tidak mengadakan perbincangan terlebih dulu sebelum memutuskan pelaksanaan sistem bayaran parkir berkenaan.

Katanya peniaga hanya mengetahui perkara tersebut pada 27 Feb lalu.

"Kawasan ZBC ini membabitkan tanah milik kerajaan negeri, dan juga tanah milik persendirian termasuk rumah penduduk yang mendiami tanah masing-masing.

"Kami terkilan dengan MDT kerana membelakangkan kami sebagai peniaga dan penduduk di sini sebaliknya lebih mementingkan hasil bayaran parkir yang hendak dilaksanakan.

"Setakat ini pihak persatuan mengambil pendekatan mewujudkan petisyen bantahan kepada MDT dan menghantar memorandum kepada menteri besar Kelantan supaya memberi perhatian terhadap masalah yang kami hadapi," katanya.

Tambah Halim, melalui sistem itu bukan saja pengunjung yang dikenakan bayaran, bahkan peniaga dan penduduk di kawasan berkenaan turut perlu menanggung beban yang sama.

Katanya, terdapat lima keluarga yang mendiami tanah persendirian dan tinggal di dalam kawasan ZBC itu turut dan mereka tidak terkecuali daripada dikenakan bayaran parkir.

"Ini kerana sesiapa sahaja masuk menggunakan kereta mesti mengambil tiket parkir dan perlu membuat bayaran ketika keluar dari pagar kawasan ini.

"Bayangkan peniaga yang parkir dari pagi hingga petang perlu menampung kos sekitar RM9 sehari.

"Begitu juga dengan penduduk yang tinggal di sini, tidak ada pengecualian diberikan.

"Takkan penduduk pun kena bayar sebab nak keluar masuk ke kawasan rumah dan tanah mereka sendiri," katanya.

Sementara itu seorang penduduk, Roslina Hassan, 57, menyatakan rasa terkejut apabila dia sekeluarga turut akan dikenakan bayaran parkir seperti mana pengunjung biasa.

"Rasa memang tak masuk akal sebab saya lahir dan hidup di sini sejak puluhan tahun lalu lagi.

"Saya dimaklumkan bayaran parkir tetap dikenakan walaupun tinggal di sini.

"Saya harap perkara ini diberi perhatian oleh pihak kerajaan negeri dan MDT dapat mempertimbangkan semula pelaksanaan bayaran parkir ini," katanya.

Susulan perkembangan itu, Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi lanjut daripada pentabiran MDT dan wakil kerajaan negeri Kelantan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS