Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jakim beri amaran keras pada KK Mart
Diterbitkan:  Mar 19, 2024 9:25 PM
Dikemaskini: 1:25 PM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memberikan amaran keras terhadap rangkaian kedai serbaneka KK Mart berhubung isu kontroversi stoking tertera tulisan "Allah."

"Jakim sebagai institusi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan memandang serius terhadap isu ini kerana telah mengguris hati umat Islam," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Jakim Hakimah Mohd Yusoff (gambar bawah) berkata semua pihak perlu berhenti menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja).

Menurutnya, Jakim telah bertemu dengan pengasas KK Mart Chai Kee Kan semalam mengenai stokin yang tertera perkataan "Allah" yang dijual di tiga rangkaian kedai serbaneka itu.

"(Jakim) telah memberi amaran keras supaya perkara ini tidak berulang lagi.

"Pihak syarikat juga telah memberi penjelasan mengenainya dan langkah-langkah untuk mengelakkan isu seumpama ini berulang.

"(Syarikat itu) juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemaskini semula prosedur operasi standard syarikat," katanya.

Stokin yang melanggar itu telah ditemui di tiga cawangan KK Mart di Sunway, Selangor minggu lepas.

Menurut pihak berkuasa, hanya lima pasang stokin itu berada di atas rak.

KK Mart telah menamatkan perjanjiannya dengan pembekal stokin itu, yang seterusnya menyalahkan sebuah syarikat di China kerana tersilap menghantar stokin berkenaan.

KK Mart juga telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka berhubung perkara itu, yang turut dipamerkan pada papan paparan elektronik di semua cawangannya.

Walau bagaimanapun, masih terdapat penolakan yang sangat lantang terhadap permohonan maaf syarikat itu, dengan ketua Pemuda Umno Muhammad Akmal Saleh menggesa boikot terhadap rangkaian kedai serbaneka tersebut.

Sebagai maklum balas beberapa menteri bukan Islam pula meminta Akmal untuk menghentikan provokasi.

Dalam pada itu, Hakimah pada kenyataannya hari ini menyeru semua pihak menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

"Dalam masa yang sama semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu lama yang menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) dan menyerahkan perkara ini kepada phak berkuasa untuk mengambil tindakan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS