Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KLIA antara lapangan terbang paling teruk? MOT ambil iktibar - Loke
Diterbitkan:  Mar 19, 2024 4:44 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil maklum pandangan atau kajian berhubung Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dijadikan sebagai rujukan serta iktibar dalam memperbaiki perkhidmatan di lapangan terbang itu.

Menterinya Anthony Loke berkata MOT menyedari terdapat beberapa kelemahan di KLIA, namun kementerian itu akan cuba melakukan yang terbaik untuk menaik taraf lapangan terbang berkenaan.

“Seperti saya nyatakan semalam ada dua projek besar yang sedang berlangsung iaitu membaik pulih aerotrain dan menaik taraf sistem pengurusan bagasi. Ia akan mengambil masa satu atau dua tahun untuk dinaik taraf.

“Selain itu ada beberapa projek yang sedang dijalankan oleh MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd) untuk menaik taraf dan mengindahkan suasana dalam terminal 1 (KLIA),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan mock cheque kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di Kuala Lumpur hari ini.

Loke mengulas laporan sebuah portal bisnes yang memaklumkan bahawa KLIA menduduki tangga kelapan dalam senarai lapangan terbang paling teruk di Asia, dengan jumlah skor 3.36 yang diberikan oleh pengembara perniagaan.

Menurut laporan itu antara punca prestasi KLIA merosot adalah kekurangan kemudahan yang selesa di lapangan terbang dan pelancong dilaporkan sering mengeluh mengenai reka bentuk lapangan terbang KLIA yang kurang baik hingga menyebabkan barisan panjang dan perlu berjalan jauh untuk ke terminal.

Mengulas lanjut Loke berkata setiap kajian mahupun pandangan sesuatu pihak tidak boleh diambil sebagai kesimpulan atau tanggapan sebenar memandangkan sekarang ini terlalu banyak kajian yang telah dilaksanakan.

Bagaimanpun, beliau berkata pihaknya menerima dengan baik pandangan itu dan menjadikannya sebagai pendorong kepada MOT untuk melakukan dengan lebih baik serta secara positif.

Mengenai majlis penyerahan mock cheque kepada TAR UMT, Loke berkata ia merupakan sumbangan berjumlah RM40 juta daripada Kerajaan Perpaduan bagi membantu aspek kewangan universiti berkenaan.

Menurutnya Kerajaan Perpaduan komited memastikan penyaluran peruntukan secara tahunan itu dilaksanakan pada suku pertama setiap tahun dalam usaha membantu meringankan beban kewangan TAR UMT menyediakan fasiliti terbaik kepada penuntut, pensyarah serta kakitangan universiti.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS