Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyediakan rangka kerja untuk melesenkan atau mendaftarkan penyedia platform media sosial yang beroperasi di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching berkata penguatkuasaan perlesenan terbabit menyasarkan penyedia perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet mengikut kriteria penilaian yang akan ditetapkan kelak.

“Cadangan penguatkuasaan pelesenan ke atas penyedia perkhidmatan dalam talian sedang diperhalusi dan SKMM sedang dalam proses melengkapkan kerangka perlesenan tersebut,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Teo berkata penguatkuasaan tersebut tidak akan menyekat kebebasan media.

Katanya lagi, cadangan perlesenan tersebut adalah sepadan dengan mengambil kira ada kandungan dalam platform media sosial dan permesejan internet yang memudaratkan.

“Langkah cadangan kawal selia ini adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam talian serta menangani kandungan yang bertentangan dengan perundangan negara.

“Ini juga seiring dengan pendekatan dan perkembangan global semasa dan bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan media,” katanya.

Menurut Teo, SKMM telah menolak kira-kira 14 peratus permintaan untuk memadamkan siaran media sosial yang diterima dari Januari hingga Mac tahun ini.

Katanya, baki 86 peratus permintaan yang diterima adalah berkaitan perjudian (73 peratus), penipuan (15.63 peratus) dan kandungan palsu (4.15 peratus).

Selain itu, Teo berkata draf Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Digital 2023 dijangka akan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

Bagi tujuan tersebut, satu jawatankuasa telah dibentuk dan perbincangan mengenainya telah dimulakan, katanya lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said pada Khamis lalu dilaporkan berkata pihaknya telah menyediakan draf RUU terbabit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS