Pemangku Sultan Johor mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berhubung isu penjualan stoking dengan tulisan kalimah "Allah" di cawangan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd.
Tunku Mahkota Ismail bertitah kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di hati umat Islam dan tindakan tegas perlu diambil bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Berkenaan isu baru-baru ini, saya menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas mengenai isu berkenaan dan memastikan isu seperti ini tidak akan berulang lagi.
“Isu ini tidak boleh dipandang remeh. Saya memandang serius isu ini dan berharap perkara ini tidak mengganggu gugat keharmonian negara,” titahnya di Facebook rasminya, hari ini.
Susulan kontroversi itu, pengasas KK Super Mart, KK Chai membuat permohonan maaf, selain menjelaskan produk tersebut adalah 'consignment' daripada vendor dan pihaknya telah berhubung dengan vendor terbabit untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Pembekal stoking itu, Xin Jian Chang Sdn Bhd, juga telah memohon maaf berhubung perkara itu dan berkata pihaknya akan lebih berhati-hati dalam proses membawa masuk produk dari luar negara.
Namun ia masih hangat diperkatakan. Antara paling lantang bersuara adalah Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh yang menyatakan permohonan maaf saja tidak mampu “menutup buku” berhubung kontroversi itu.
Semalam, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata pihak KK Super Mart akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata dua kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima 42 laporan.
Katanya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.
Menurutnya, kes juga disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar atau perkhidmatan.