Sekurang-kurangnya 81 warga Palestin maut dan 116 lagi cedera dalam 24 jam lepas berikutan serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt, kata Kementerian Kesihatan Gaza pada Isnin, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Tentera Israel melakukan lapan pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga-keluarga di Semenanjung Gaza, menyebabkan 81 gugur syahid dan 116 cedera dalam tempoh 24 jam lepas,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Ramai yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan di atas jalan kerana anggota penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka,” katanya.
Mengingkari perintah sementara yang dikeluarkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Israel terus menyerang Semenanjung Gaza dengan sekurang-kurangnya 31,726 rakyat Palestin maut, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta 73,792 cedera sejak 7 Okt, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Israel telah menyerang secara berterusan sejak serangan Hamas melangkaui sempadan Israel, yang Tel Aviv mendakwa telah mengorbankan 1,200 orang.
Serangan Israel ke atas Gaza telah mengakibatkan 85 peratus daripada penduduk wilayah itu hilang tempat tinggal selain daripada menghadapi kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, sementara 60 peratus daripada infrastrukturnya telah rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.
Israel didakwa melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Satu perintah sementara pada Januari mengarahkan Israel berhenti melakukan genosid dan mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusian disampaikan kepada orang awam di Gaza.
Serangan diteruskan tanpa sebarang tanda akan dikurangkan dan penyampaian bantuan masih lagi tidak mencukupi bagi menangani bencana kemanusiaan ini.
- Bernama