Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kajian semula hala tuju Mitra hanya buang masa, duit - Makkal Sakthi

Parti Makkal Sakthi mengkritik keputusan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) membuat kajian berhubung perancangan strategik dan hala tuju Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) bagi menghasilkan pelan tindakan masyarakat India (Blueprint Mitra).

Presidennya, RS Thanenthiran menyifatkan langkah itu sebagai memperbodohkan masyarakat India, selain membuang masa dan wang ringgit.

Ini kerana menurutnya, kajian seumpama itu telahpun dilaksanakan semasa pentadbiran bekas perdana, menteri Najib Razak.

"Rujuk saja kertas kabinet 'The Indian Blue Print' semasa pentadbiran Najib yang mempunyai semua data yang lengkap. Jangan buang masa dan duit. Ini seolah-olah menipu rakyat.

"Dah masuk tiga bulan tahun ini, masih tak buka permohonan untuk dana Mitra. Nak buat kajian ambil masa tiga bulan lagi.

“Maka RM100 juta yang diperuntukan tahun ini nampaknya tidak akan sampai ke tangan rakyat," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang mengesahkan Mitra akan dikaji semula untuk perancangan dan hala tuju yang lebih strategik.

Kementerian juga mengupah firma perunding Pemandu bagi urusan perancangan strategik dan bengkel hala tuju Mitra.

Bengkel melibatkan tokoh korporat dijadualkan pada 20 dan 21 Mac ini, sementara sesi libat urus melibatkan parti politik, ahli parlimen, ahli Dewan Negara dan Adun berbangsa India dijadualkan dalam masa terdekat.

Namun, keputusan kementerian membayar firma perunding itu dikritik banyak pihak termasuk ahli parlimen kerajaan.

Mitra pada asalnya dikenali sebagai unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (Sedic) yang diwujudkan pada 2014 di bawah JPM dan perdana menteri ketika itu ialah Najib Razak.

Selepas PH membentuk kerajaan pada 2018, Sedic dinamakan semula sebagai Mitra dan dipindahkan ke Kementerian Perpaduan Negara sehingga Sept 2022 sebelum dipindahkan semula ke JPM oleh perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob.

Pada Dis tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengembalikan semula Mitra ke kementerian perpaduan dan langkah tersebut dikecam sebagai "penurunan taraf" untuk unit berkenaan.

Anwar mewajarkan peralihan semula kepada Kementerian Perpaduan Negara dengan menyatakan, kerajaan telah membersihkan Mitra dengan amalan tadbir urus baik yang ketat untuk memastikan tiada salah guna kuasa atau salah laku.

Perdana menteri juga berkata dia masih akan memantau Mitra.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS