Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sekurang-kurangnya tiga NGO menggesa Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, meletakkan jawatan selepas dia didakwa gagal mengendalikan Unit Transformasi India Malaysia (Mitra).

Pasukan Tindakan India Malaysia (MIA Force), Pasukan Petugas Pekerja Malaysia-Singapura (Pemas), dan Revolusi India Masa Depan Dalam Pendidikan (Fire) turut menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri melalui pegawai tugas khas perdana menteri Shanmugam Mookan di luar Parlimen hari ini.

"Aaron tak minat ke? Kalau tak minat, dia kena letak jawatan," kata pengerusi kepada tiga NGO terbabit, Dayalan Sreebalan, selepas menyerahkan memorandum berkenaan.

Turut hadir Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau dan kira-kira 30 orang masyarakat India.

Pada 13 Mac lalu, Aaron memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia "tidak jelas" apabila Mitra dipindahkan ke bawah kementeriannya.

"Saya tidak jelas, saya tidak tahu tujuan Mitra. Dan saya perlu berlaku adil kerana saya tidak berminat,” katanya seperti dicatatkan Hansard Parlimen.

Malam tadi, Malaysiakini menghubungi setiausaha akhbar Aaron, Shatesh Kumar Sangar, yang memberitahu bahawa orang ramai tersalah faham apa yang dikatakan oleh menteri terbabit.

"Maksudnya bukan tentang kurang minat, tetapi kepentingannya," kata Shatesh.

Dayalan (tengah) menyerahkan memorandum kepada V Ganabatirau

Mengulas lanjut, Dayalan berkata, jika benar Aaron menganggap Mitra tidak begitu penting, sikap itu jauh lebih teruk berbanding jika dia tidak berminat terhadap unit berkenaan.

Justeru Dayalan mendesak agar Mitra diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dia juga mengkritik pelawaan dibuat kerajaan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dan Presiden Gerakan Dominic Lau untuk menghadiri sesi libat urus mengenai Mitra.

"Apa tujuan menjemput Abdul Hadi, Muhyiddin, Lau, dan semua orang ini datang memberi idea tentang Mitra?

"Pertama sekali, apa yang mereka tahu tentang sentimen orang India?" soalnya.

Dayalan seterusnya mengecam tindakan Aaron merujuk kepada Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu) berhubung Mitra.

Dia mendakwa Pemandu, sebagai perunding yang berpangkalan di Sarawak, tidak tahu mengenai isu yang membabitkan masyarakat India.

Katanya, Pemandu gagal melaksanakan dua program sebelum ini iaitu MyAtom dan MyTukar.

Mitra pada asalnya dikenali sebagai unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (Sedic) yang diwujudkan pada 2014 di bawah JPM dan perdana menteri ketika itu ialah Najib Razak.

Selepas PH membentuk kerajaan pada 2018, Sedic dinamakan semula sebagai Mitra dan dipindahkan ke Kementerian Perpaduan Negara sehingga Sept 2022 sebelum dipindahkan semula ke JPM oleh perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob.

Pada Dis tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengembalikan semula Mitra ke kementerian perpaduan dan langkah tersebut dikecam sebagai "penurunan taraf" untuk unit berkenaan.

Anwar mewajarkan peralihan semula kepada Kementerian Perpaduan Negara dengan mengatakan, kerajaan telah membersihkan Mitra dengan amalan tadbir urus baik yang ketat untuk memastikan tiada salah guna kuasa atau salah laku.

Perdana menteri juga berkata dia masih akan memantau Mitra.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS