Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Amanah gesa perkasa undang-undang lindung sensitiviti agama
Diterbitkan:  Mar 18, 2024 2:00 PM
Dikemaskini: Mar 19, 2024 6:54 AM

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Asim Abdullah Ainullotfi menggesa kerajaan memperkuat undang-undang berkaitan perlindungan sensitiviti agama, di tengah isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di cawangan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd.

Asim berkata langkah itu - yang juga perlu melibatkan bidang perniagaan - akan memberi isyarat jelas kepada syarikat bahawa pelanggaran sensitiviti agama akan berdepan tindakan serius, seterusnya mendorong mereka untuk mengambil langkah bagi mencegahnya daripada berlaku.

"Pemuda Amanah mengambil maklum KK Mart telah memohon maaf mengenai isu ini namun isu ini tidak harus dipandang ringan.

"Kami ingin menegaskan kepada pengilang, mahupun pengedar, mahupun peruncit, untuk lebih sensitif terhadap isu-isu agama, terutamanya berkaitan dengan kalimah Allah. Hal ini adalah penting dalam mengekalkan keharmonian agama di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Asim Abdullah

Asim juga mengingatkan pada zaman ini, setiap tindakan syarikat akan disorot dan boleh memberi kesan besar kepada reputasi, maka mereka perlu lebih menghormati nilai agama dan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan kemungkinan konflik dengan pelanggan mereka.

Pada 14 Mac lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd memohon maaf susulan video tular penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Syarikat itu berkata, produk tersebut adalah 'consignment' daripada vendor dan pihaknya telah berhubung dengan vendor terbabit untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

"Sekali lagi, kami memohon maaf dan akan memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi," katanya.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri hari ini berkata siasatan berkenaan perkara itu tetap akan diteruskan walaupun permohonan maaf telah dibuat.

‘Pentingnya cari titik pertemuan’

Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berkata semua pihak tidak perlu membuat "ancaman berlebihan" berhubung isu tersebut kerana ia hanya akan memecahkan lagi masyarakat.

"Saya faham ini isu penting dan tidak sepatutnya berlaku. Walaupun berlainan agama, saya memahami perasaan jika holy sacrament (dalam agama Kristian) dilambangkan dengan cara yang serupa.

"Sebab itu saya memahami pentingnya mencari titik pertemuan dan jalan ke hadapan yang terbaik untuk semua, menanggapi salah faham dan sensitiviti semua pihak," katanya dalam kenyataan semalam.

Yii turut menegur langkah Pemuda Umno yang antaranya membuat sekurang-kurangnya 13 laporan polis dan menggesa siasatan dibuat mengikut Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada lima tahun.

"Apabila menyedari isu ini, Pemuda Umno seharusnya mencari langkah ke hadapan yang lebih baik termasuk menjadikannya sebagai peluang untuk merapatkan jurang, bukan memecahkan.

"Kita tidak boleh menjadi reaktif dalam sebarang isu dan selaku pemimpin muda, kita perlu melihat ke arah mengangkat politik matang dan dasar yang mempromosikan integrasi sosial, bukan ancaman yang memecahkan kita," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS