Paling Popular
Terkini

Dua hakim kanan yang telah berkhidmat bersama badan kehakiman selama 14 tahun telah dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Mahkamah Rayuan Hanipah Farikullah dan Vazeer Alam Mydin Meera kini hakim mahkamah teratas di Malaysia, selepas upacara mengangkat sumpah kenaikan pangkat yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Kehakiman petang tadi.

Awal pagi ini, kedua-dua mereka menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Dilahirkan di Besut, Terengganu pada 23 Mei 1959, Hanipah dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada Mei 2018, menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada Januari 2013 dan naik ke mahkamah Rayuan pada April 2018.

Hakim Mahkamah Persekutuan yang baru dilantik Hanipah Farikullah.

Antara kes berprofil tinggi yang dipengerusikannya ialah semasa menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2016 apabila dia menolak semakan kehakiman Sisters in Islam yang menyasarkan fatwa Selangor yang melabelkan kumpulan itu sebagai sesat. Rayuan kumpulan pemerkasaan wanita itu sedang menunggu semakan di Mahkamah Persekutuan.

Dilahirkan pada 3 Jan 1962, Hakim Vazeer dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada Mei 2010, hakim Mahkamah Tinggi pada Februari 2015 dan hakim Mahkamah Rayuan pada Ogos 2019.

Antara kes berprofil tinggi yang dipengerusikan oleh Vazeer ialah kes tuntutan di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melibatkan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu yang dibunuh.

Hakim Vazeer (gambar bawah) telah memerintahkan kerajaan dan tiga yang lain membayar pampasan RM5 juta kepada keluarga si mati berhubung pembunuhannya pada 2006 oleh dua bekas pegawai polis .

Semasa upacara kenaikan pangkat ini, tiga pesuruhjaya kehakiman - Alexander Siew, Su Tiang Joo dan Amelati Parnell - pula disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi juga.

Siew dan Su dipilih sebagai pesuruhjaya kehakiman pada Julai 2020, dan Amelati dilantik pada April 2021.

Su mengangkat sumpah jawatannya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir, manakala Siew dan Amelati mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, yang yang juga Hakim Besar Malaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS