Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'SPRM tak boleh paksa, tapi harapkan kerjasama Wan Saiful'

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Ahli Parlimen Bersatu, Wan Saiful Wan Jan memberikan kerjasama dalam siasatan berhubung dakwaan dia ditawarkan habuan sebagai balasan menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Ketua Pesuruhanjaya SPRM, Azam Baki berkata pihaknya sedar bahawa ucapan Wan Saiful dilindungi di bawah perlembagaan, namun meminta dia tampil sebagai saksi.

“Kita sedar tentang peruntukan parlimen (kekebalan bagi ahli parlimen di Dewan Rakyat) semua tu, kita bukan tak sedar tapi itu bagi sebarang tindakan prosedur mahkamah.

“Di sini kita nak dia datang ke pejabat bagi keterangan, sebab kita ada kes yang kita dah buka.

“Jadi kita nakkan dia beri kerjasamalah, nak tahu apa yang dinyatakan dalam parlimen," kata Azam kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Wan Saiful pada 15 Mac lalu berkata dia tidak dapat hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dengan membangkitkan soal kekebalannya sebagai anggota parlimen selain tarikh tidak sesuai.

Wan Saiful juga memberitahu Dewan Rakyat bahawa SPRM didakwa mengganggunya dengan cuba merakam kenyataannya berhubung ucapannya di dewan yang mulia itu.

Mengulas lanjut, Azam berkata agensi itu mempunyai tangungjawab untuk menyiasat dakwaan membabitkan rasuah.

Menurutnya, pemimpin Bersatu itu perlu menjelaskan lebih lanjut mengenai kes itu walaupun pihaknya tidak boleh memaksanya berbuat demikian memandangkan kekebalan yang diperolehinya di parlimen.

Azam berkata Wan Saiful melalui peguamnya juga telah menyatakan bahawa dia bersedia bekerjasama dengan SPRM, walaupun dengan syarat SPRM dapat menunjukkan kenapa Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan Dan Kuasa) 1952 boleh dilanggar dalam kes tersebut.

"PUblic nak tahu sama betul ke tohmahan itu. Jadi tugas kami ni la untuk dapatkan keterangan.

"Sekarang ni bukan kita nakkan dia buat report. sekarang ni kerana aduan telah dibuat. Jadi bila ada aduan, kertas siasatan telah dibuka.

"Dia adalah salah seorang yang dikehendaki untuk membantu dalam siasatan. Kita nak tau apa cerita sebenar, sebab dia saksi," ujarnya.

Pada 28 Feb lalu, Wan Saiful mendakwa dia ditawarkan habuan berupa peruntukan RM1.7 juta untuk kawasannya jika menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dia mendakwa individu yang mendakwa mewakili perdana menteri itu juga berkata mereka boleh menggugurkan pertuduhan terhadap Wan Saiful di mahkamah.

Susulan itu, Azam menegaskan sesiapa yang mendakwa menerima habuan rasuah memikul tanggungjawab melaporkannya segera untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, Wan Saiful membangkitkan mengenai imuniti atau kekebalan ahli parlimen daripada dikenakan prosiding sivil atas apa-apa petisyen atau usul yang dikemukakan dalam dewan seperti yang terkandung dalam Seksyen 7 Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

Justeru, menurutnya, tidak ada mana-mana pihak boleh menyentuh perkara yang telah dimuktamadkan oleh Speaker termasuklah ucapan yang disebut di dalam dewan.

"Bila ada kacau ganggu ini, bagi saya, ini satu tekanan yang tidak wajar kepada ahli-ahli parlimen," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS