Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dengan kerjasama Petronas Dagangan Bhd (PDB) menerusi program pengumpulan minyak masak terpakai (UCO), menyasarkan sejumlah 300,000 kilogram bahan itu dapat dikumpulkan pada tahun ini.
Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata bagi tempoh sama, KPK dan PDB akan turut memperluas usaha pengumpulan UCO ke 50 stesen minyak Petronas di seluruh negara selain penyertaan seramai 15,000 kalangan orang awam.
Harga pembelian semula UCO oleh Petronas adalah RM3 sekilogram manakala RM2.50 sekilogram ditetapkan bagi kawasan di Semenanjung Pantai Barat, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.
"Program ini merupakan usaha bersama PDB dan KPK dalam meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menjaga alam sekitar.
"Pada masa sama, program ini berupaya menjana pendapatan tambahan isi rumah serta turut mengembangkan potensi penghasilan biobahan api lestari menggunakan UCO bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG)," katanya.
Beliau berucap merasmikan program pengumpulan UCO sempena Ikhlas Ramadan bersama Gas Petronas di Bazar Ramadan Desa Pandan di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) KPK Datuk Razali Mohamad dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad Azrul Osman Sani.
Bagi tempoh Julai 2023 hingga Februari 2024, sebanyak 205,000 kilogram UCO dikumpulkan daripada 35 stesen minyak Petronas dengan penyertaan seramai 11,593 orang awam.
Dalam pada itu, sambil menyifatkan usaha itu sebagai salah satu agenda ekonomi kitaran, Johari berkata pogram UCO turut menjadi langkah proaktif pihak PDB dan negara dalam mengkomersialkan biobahan api penerbangan mampan (SAF) yang memenuhi sasaran pertumbuhan neutral karbon di sektor penerbangan antarabangsa menjelang 2050.
Tak boleh buang sewenang-wenang
“Kita mahu membudayakan satu konsep pembuangan minyak masak ini yang sebenarnya ada nilai dan tidak boleh dibuang sewenang-wenangnya ke dalam longkang, luar rumah dan tempat-tempat pembuangan sampah.
"Malah, menerusinya, kita dapat buat satu pusaran ekonomi baharu iaitu minyak-minyak ini diproses semula untuk penghasilan SAF," katanya.
Johari berkata program pengumpulan UCO tidak hanya di stesen minyak Petronas, tetapi turut melibatkan bazar Ramadan terpilih seperti Desa Pandan, Kuala Lumpur serta kawasan-kawasan di Selangor seperti USJ4, Bandar Kinrara, Puchong Prima dan Puncak Jalil (PUJ3).
- Bernama