Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azalina: Pentadbir sekolah sembunyi kes jenayah seksual akan 'diburu'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menggesa semua pihak khususnya pentadbir sekolah agar lebih prihatin dalam isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Azalina berkata pihak berkuasa akan “memburu” pentadbir sekolah yang didapati cuba menyembunyikan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, sama ada ia berlaku di sekolah atau rumah.

Berucap di Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual di Shah Alam hari ini, Azalina berkata pentadbir sekolah atau orang awam yang enggan melaporkan perkara itu boleh didakwa mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Cabaran yang paling utama adalah Seksyen 19. Banyak orang tak nak lapor, tak nak jaga tepi kain, takut salah lapor nanti kena tumbuk.

“Itu sebabnya kalau kita tengok undang-undang hari ini, pakar-pakar sudah nyatakan jika kamu tak lapor kamu akan dipertanggungjawabkan. Jadi, kita akan cari anda jika anda tak lapor.

“Oleh itu, lebih elok anda (pentadbir sekolah) lapor. Betullah kata menteri (Fadhlina Sidek) you touch, you go’ , dan saya nak tambah, you don’t report, you don’t go,” kata Azalina.

Mengikut akta itu, individu yang tahu berkenaan kes gangguan seksual namun tidak memberikan maklumat berkaitannya boleh didenda tidak lebih RM5,000.

Mengulas lanjut, Azalina menberi jaminan bahawa pemberi maklumat berhubung kes salah laku itu akan dilindungi.

“Kalau kita tengok antara isu maruah dan perasan malu dan tanggungjawab, kita kena tahu bahawa undang-undang melindungi mereka yang melaporkan dan saya percaya mereka akan dilindungi.

“Galakan untuk melapor ini penting. Betul atau tidak itu peringkat seterusnya oleh pihak bertanggungjawab (yang menyiasat) tapi apa yang utama adalah guru-guru dan guru besar, guru disiplin dan kaunseling tak boleh takut untuk lapor,” katanya lagi.

'Jangan takut sekolah dapat malu'

Azalina juga mengingatkan pentadbir sekolah tidak perlu merasa malu untuk melaporkan kes yang berlaku di sekolah mereka.

“(Selalu kita dengar) ehh..betul ke ni, nanti sekolah ini dapat malu, keluar berita...

“Kamu perlu letak tepi dan menerima hakikat bahawa dalam Akta Kanak-kanak...kalau mereka (kanak-kanak) mengadu dan melihat sesuatu berlaku, kita harus terima ia sebagai betul.

“Itu diperuntukkan dalam undang-undang tapi sudah tentu dalam undang-undang ada prosesnya," katanya lagi.

Azalina berkata bagi menjamin keberkesanan undang-undang, pihaknya mengambil pendekatan bekerjasama dengan kementerian lain bagi membanteras perkara itu.

“Tak adalah bahagian undang-undang (hanya) buat undang-undang, sekolah hanya mengajar saja. Kali ini kita mahu guru-guru bantu kita laksanakan undang-undang (melindungi kanak-kanak) di sekolah,” katanya.

Terdahulu Azalina dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menandatangani nota kerjasama antara Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Kementerian Pendidikan mengenai perlindungan murid daripada eksploitasi seksual.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS