Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jumlah insiden perkauman, diskriminasi kaum dan xenofobia secara keseluruhan menurun pada 2023 berbanding tahun sebelumnya, menurut Laporan Perkauman Malaysia 2023 yang didedahkan hari ini.

Laporan yang disediakan oleh NGO Pusat Komas itu merekodkan sebanyak 50 insiden yang dikenal pasti sebagai perkauman, diskriminasi kaum dan xenofobia berbanding 82 insiden pada 2022.

Daripada 50 kejadian itu, laporan itu mendapati politik perkauman atau agama merupakan kes tertinggi iaitu sebanyak 31.4 peratus.

Sementara itu, ungkapan prejudis, provokasi atau hasutan kaum atau agama pula menyumbang 17/6 peratus.

Laporan itu merekodkan 15 insiden berkaitan politik perkauman atau agama tahun lepas, yang melibatkan ahli politik dari kedua-dua belah pihak.

Antaranya membabitkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

“Ahli politik sering memanipulasi ketegangan kaum dan agama untuk mengekalkan kuasa.

“Tanggapan lapuk 'mengundi kaum kita supaya mereka utamakan keperluan kita' sudah tertanam begitu sebati.

“Tambahan pula, ketakutan adalah strategi biasa yang digunakan oleh ahli politik untuk mengekalkan pengikut dalam parti mereka dan mengalihkan pengikut daripada lawan politik mereka melalui cara mengelirukan," menurut laporan itu.

Pengarah program Pusat Komas menjelaskan ramai ahli politik menggunakan isu kaum dan agama untuk meraih undi dan seterusnya membawa kepada jumlah insiden yang lebih tinggi pada 2022 yang juga merupakan tahun pilihan raya.

Walaupun menurun pada 2023, Chua berkata insiden yang direkodkan dalam laporan itu hanya diperoleh berdasarkan laporan media dan polis.

"Banyak kali kita mendapati bahawa satu-satunya cara kita boleh melaporkan insiden perkauman adalah kepada polis," kata Chua kepada pemberita pada pelancaran laporan itu hari ini.

Lonjakan dalam sektor lain

Walaupun jumlah insiden yang dilaporkan lebih rendah berbanding 2022, laporan itu berkata perkauman, diskriminasi dan xenofobia dalam sektor lain telah mencapai ke paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun.

Sektor-sektor lain ini membabitkan etika berpakaian, pekerjaan, hubungan antara kaum dan pasaran sewa, yang telah meningkat daripada sembilan kes pada 2022 kepada 15 kes pada 2023.

Sementara itu, hanya terdapat enam kes pada 2021 dan empat kes direkodkan pada 2020.

Laporan itu juga menyenaraikan beberapa insiden perkauman dan diskriminasi lain, termasuk dalam pendidikan, sukan dan dasar kerajaan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS