Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Saiful tak hadir ke SPRM kerana ‘tarikh tak sesuai’

Anggota parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan tidak hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Dia antaranya berbuat demikian susulan tarikh yang ditetapkannya didakwa tidak sesuai, selain membangkitkan soal kekebalan anggota parlimen dalam Dewan Rakyat.

Keputusan wakil rakyat Bersatu itu diberitahu oleh peguamnya Chetan Jethwani menerusi surat bertarikh 14 Mac dan disahkan kepada Malaysiakini sebentar tadi.

Sebelum ini, SPRM mengarahkan Wan Saiful untuk menghadiri ke sesi itu pada jam tiga petang susulan dakwaan dia ditawarkan ganjaran untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bercakap dengan Malaysiakini, Jethwani berkata bahawa pihaknya menghantar surat tersebut sebagai jawapan kepada notis Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM (perintah hadir membantu siasatan).

"Dalam surat itu anak guam kami menegaskan keistimewaan parlimennya dan menjemput SPRM untuk mempertimbangkan semula kedudukannya memandangkan keistimewaan yang diberikan kepada ahli parlimen bawah undang-undang,” katanya.

Semak surat balas SPRM

Dia juga berkata telah mendapat surat balas daripada SPRM petang ini tetapi tidak mendedahkan kandungannya.

“Anak guam saya sedang menyemak perkara itu dan kami akan bertindak balas dengan sewajarnya.

"Anak guam kami sentiasa menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan SPRM, dengan syarat SPRM bertindak dalam batas undang-undang," katanya.

Sementara itu, Chetan berkata Wan Saiful tidak dapat hadir hari ini kerana perlu ke Pulau Pinang untuk melaksanakan “tugas dan aktiviti rutin mingguan” yang dirancang lebih awal.

Wan Saiful akan berlepas hari ini dan hanya akan kembali ke Kuala Lumpur pada 17 Mac.

Tambahnya, Wan Saiful sedia mempertimbangkan untuk menghadiri ke pejabat SPRM pada minggu hadapan.

"Seperti yang telah dimaklumkan kepada pihak SPRM sebelum ini, anak guam kami sedia memberikan kerjasama sekiranya pihak SPRM dapat menunjukkan kenapa Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan Dan Kuasa) 1952 boleh dilanggar dalam kes ini sedangkan ucapan yang diberikan oleh anak guam kami adalah di Parlimen.

"Sekiranya persoalan-persoalan ini dapat ditangani oleh pihak SPRM, anak guam kami sedia mempertimbangkan untuk hadir pada minggu hadapan," katanya lagi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini berkata menjadi tanggungjawab bagi mana-mana individu yang mendakwa ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan berlandaskan undang-undang untuk tindakan selanjutnya.

Namun, Wan Saiful membangkitkan mengenai kekebalan anggota parlimen yang dijamin dalam Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

‘Campuri urusan parlimen’

Katanya, tiada mana-mana pihak boleh menyentuh perkara yang telah dimuktamadkan oleh speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Jethwani juga berkata tindakan SPRM itu mencampuri dan melangkaui bidang kuasa parlimen.

 "Ia boleh dianggap sebagai tindakan yang menghina majlis serta mengugut ahli parlimen yang membuat apa-apa ucapan untuk kepentingan rakyat dan demokrasi berparlimen di Malaysia.

"Tindakan ini melangkaui dan melanggar prinsip pengasingan kuasa dan konsep demokrasi berparlimen di Malaysia yang mana ia membuka pintu kepada pegawai-pegawai penguatkuasa untuk menggunakan sebarang alasan bagi campur tangan atau mencabuli hak dan keistimewaan serta kekebalan ahli parlimen.

"Oleh itu, dengan hormatnya kami berpandangan wajarlah pihak SPRM menyelidik had bidang kuasa SPRM untuk membuat pemeriksaan terhadap ahli-ahli Parlimen yang bercakap dalam sidang Dewan Rakyat," katanya.

Jethwani juga dalam surat itu memberitahu bahawa Wan Saiful akan memberi salinan surat itu kepada Johari kerana ia mempunyai kesan terhadap institusi parlimen.

"Kami merezabkan segala hak anak guam kami dan kami akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap pihak SPRM sekiranya perlu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS