Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KK Mart mohon maaf isu stoking tulisan kalimah Allah
Diterbitkan:  Mar 14, 2024 8:15 PM
Dikemaskini: Mar 19, 2024 6:59 AM

Pengendali kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf susulan video tular penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.

"Kepada semua pelanggan KK Super Mart dan umat Islam khususnya. KK Super Mart ingin memohon maaf di atas kesilapan penjualan stoking berjenama 'Miranosock' di cawangan di Bandar Sunway pada hari ini.

"Kami kesal dan memandang serius akan insiden ini. Tindakan serta merta telah diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung kewujudan stokin tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian runcit serbaneka tersebut.

Para pengguna mengecam penjualan produk tersebut sebagai tidak peka sensitiviti agama Islam di negara ini.

Sementara itu, KK Super Mart berkata bahawa produk tersebut adalah produk ‘consignment’ daripada pihak vendor.

"Kami juga sudah berhubung dengan pihak vendor untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu ini.

"KK Super Mart juga berterima kasih di atas keprihatinan warga umum yang telah menegur dan memberi komen terhadap isu ini.

"Sekali lagi, kami memohon maaf dan akan memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS