Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani berkata menukar gelaran penuai minyak sawit sebagai "specialised harvester" (penuai khusus) boleh menarik minat anak muda Malaysia.
Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Johari berkata ini dalam usaha untuk mengurangkan isu kekurangan buruh yang menjejaskan industri.
Kekurangan penuai, tambahnya, adalah serius kerana ekonomi akan rugi RM8 bilion, mengikut harga semasa.
Pada masa ini, Johari berkata Malaysia amat bergantung kepada pekerja asing, iaitu 75 peratus daripada jumlah pekerja dalam industri minyak sawit.
“Jika ada pandemik, dia (pekerja asing) balik. Siapa nak harvest (tuai)?
"Sebab itu sekarang nak rancang bagaiamana nak galakkan tenaga muda kita masuk TVET ni, bagi dia take pride ni. Bahawa harvester (penuai) ni is a specialised job (adalah kerja khusus).
"Jadi tak boleh panggil dia pekerja ladang. Kita panggil dia specialised harvester," katanya semasa ucapan penggulungan kementeriannya mengenai perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Selanjutnya, Johari berkata belia akan diajar tiga langkah pertama penuaian kelapa sawit - cara mengenal pasti buah kelapa sawit yang masak, cara memotong pelepah sawit dan cara memotong dahan.
“Langkah selebihnya boleh dilakukan oleh pekerja asing atau mesin.
“Mesin boleh digunakan untuk kerja-kerja seperti memuatkan buah-buahan ke dalam lori, mengutip buah-buahan yang jatuh dan mengangkutnya,” katanya.
Ini, katanya, berbeza berbanding tugas penuai biasa yang terdiri daripada tujuh langkah.
Selain itu, Johari menyatakan bahawa kementeriannya akan memulakan projek perintis untuk menarik belia yang menjalani latihan TVET dalam usaha untuk mempunyai lebih ramai penuai.
“Seramai 60 pelajar akan menjalani projek perintis ini dengan seliaan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), yang akan bermula pada April,” katanya.