Paling Popular
Terkini

Pihak pendakwaan berhujah bahawa tiada jaminan isteri bekas menteri kewangan Daim Zainuddin tidak akan melarikan diri, justeru mahkamah jenayah perlu menyimpan pasportnya.

Bagaimanapun, peguam Na’imah Abdul Khalid membantah dan mahu pasportnya dipulangkan kerana mahkamah jenayah merampas dokumen perjalanan itu tanpa pihak pendakwaan memberikan alasan khusus mengapa dia akan melarikan diri.

Hujahan lisan ini masing-masing dikemukakan oleh timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam bela M Puravalen di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semasa perbicaraan hari ini berhubung permohonan Na’imah untuk mendapatkan semula pasportnya secara kekal.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan pasportnya ditahan, sementara menunggu kes jenayahnya yang dikaitkan dengan dakwaan kegagalannya mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan aset selesai dibicarakan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa tiada jaminan isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid tidak melarikan diri sekiranya pasport antarabangsa dikembalikan kepadanya secara kekal.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihak pendakwaan bukannya ingin menyekat hak kebebasan Na’imah untuk mendapatkan pasport kerana beliau pada bila-bila masa boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan sementara pasportnya jika ingin ke luar negara.

“Apa jaminan tertuduh tidak akan melarikan diri?” katanya pada prosiding pendengaran permohonan Na'imah bagi menyemak perintah Mahkamah Sesyen yang menahan pasportnya selepas beliau didakwa gagal mengisytiharkan harta.

Peguam Na'imah, M Puravalen pula berhujah bahawa hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam prosedur dan undang-undang semasa membuat keputusan untuk menyita pasport berkenaan.

“Ini kerana tiada alasan dikemukakan oleh pihak pendakwa raya untuk mewajarkan penyitaan itu, sekali gus menjadikan keputusan itu terkhilaf di sisi undang-undang dan tidak wajar dari segi prosedur.

“Penyitaan pasport pemohon tanpa sebab adalah melanggar hak perlembagaan pemohon untuk melancong ke luar negara, sebagai satu aspek hak kebebasan individu seperti yang termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mohd Fadhly Mohd Zamry pula berkata keputusan Hakim Mahkamah Sesyen dalam menetapkan syarat tambahan iaitu Nai’imah perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah adalah tidak salah kerana ia selaras dengan peruntukan undang-undang.

Hakim Datuk Ahmad Bache kemudian menetapkan keputusan bagi permohonan itu pada 22 Mac ini.

Na’imah memfailkan permohonan pada 16 Feb lepas dengan mendakwa alasan yang kukuh harus diberikan Timbalan Pendakwa Raya untuk menahan pasport beliau dan adalah tidak wajar ia dibenarkan hanya disebabkan rutin atas permintaan pendakwaan.

Pada 23 Jan lepas Na'imah, 66, didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Hakim Azura Alwi membenarkan Na'imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan beliau menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS