Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu hak kanak-kanak lahir di luar negara sedang ditangani k'jaan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan, isu berkaitan hak kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia sedang ditangani oleh kerajaan.

Katanya kabinet bersetuju untuk membawa usul mengenai pindaan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia ke parlimen bulan ini.

“Sila ikuti perkembangan di tanah air… soalan anda telah diambil alih oleh peristiwa semasa.

"Kabinet telah bersetuju untuk membawa perkara itu ke parlimen bulan ini,” katanya ketika menjawab soalan pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Berlin, Jerman malam tadi.

Anwar berkata pindaan terhadap perkara itu akan menoktahkan isu tersebut.

“Ketika ini, ibu bapa membawa maksud bapa. Kami akan memindanya supaya ibu bapa bermaksud ibu atau bapa,” katanya yang kini berada di Jerman dalam rangka lawatan rasmi selama enam hari.

Mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh wakil Global Bersih bahawa kebanyakan rakyat Malaysia di luar negara berdepan kesukaran mengundi pada dua PRU lalu, Anwar berkata dia telah mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti perkara berkenaan.

“Kita kena mudahkan, antaranya pengundian langsung. Misalnya lebihkan pusat-pusat pengundian, kita ada pejabat Mida, Matrade,” katanya.

Perdana menteri berkata SPR juga perlu mengkaji langkah mewujudkan pendaftaran secara automatik untuk pengundi Malaysia di luar negara sama seperti yang diamalkan di tanah air.

Anwar juga berkata pelajar lulusan dari Jerman mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan di tanah air kerana syarikat negara terbabit di Malaysia biasanya akan mencari mereka.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS