Paling Popular
Terkini

Walaupun keputusan untuk bertukar jenis simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tertakluk kepada ahli, seorang pemimpin PAS menggesa agar pencarum bertukar kepada simpanan syariah.

Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin menjelaskan walaupun tiada kewajipan dalam hal tersebut namun sebagai muslim, katanya, adalah lebih baik pencarum memilih kepada simpanan yang patuh syariah.

"Kerajaan menggagaskan untuk pencarum dibolehkan secara option (pilihan) untuk menukar status caruman daripada tidak patuh syariah kepada patuh syariah.

"Jadi, ia bergantung kepada pencarum itu sendiri. Pastinya kita sebagai orang beragama Islam disarankan untuk mengambil caruman bersifat patuh syariah," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 8 Mac lalu, pakar kewangan Islam dan syariah, Dr Zaharuddin Abd Rahman berpesan agar pencarum KWSP beragama Islam yang belum beralih ke simpanan syariah agar berbuat demikian.

Hal itu kerana, menurutnya, pelaburan konvensional bebas melabur di industri halal dan tidak halal asalkan pelaburan itu memberi keuntungan.

"Atas sebab itu bagi mereka yang mementingkan halal dan keberkatan pada tahap maksimum, perlulah beralih ke akaun simpanan syariah atau lakukan pembersihan," katanya.

Zaharuddin turut memetik statistik KWSP sehingga 31 Disember tahun lalu, yang menunjukkan hanya 20.1 peratus pencarum beragama Islam memilih simpanan syariah.

"...Daripada jumlah pencarum muslim seramai 8,882,184 di KWSP, hanya 1,785,250 sahaja yang telah berpindah ke simpanan syariah, iaitu 20.1 % sahaja," katanya.

Pada 3 Mac lalu, KWSP mengumumkan kadar dividen bagi 2023, iaitu 5.5 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.4 peratus untuk simpanan syariah.

Pengumuman itu menarik perhatian berikutan perbezaan hanya 0.1 peratus antara dua simpanan tersebut, yang jauh lebih kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Malah di media sosial turut kedengaran tentang dakwaan bahawa antara punca kadar dividen simpanan syariah tinggi adalah kerana ditambah daripada hasil dividen konvensional.

Mengulas hal berkenaan, Khairil Nizam meminta pihak yang membuat dakwaan agar tampil mengemukakan bukti dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Dakwaan mesti berasas dan beserta kepada bukti. Kalau ada bukti, boleh buat laporan.

"Saya salah seorang pencarum yang bertukar kepada simpanan patuh syariah dan saya menggesa semua pencarum muslim agar menukar kepada caruman syariah," katanya lagi.

Bagaimanapun, KWSP sebelum ini menafikan dakwaan hasil pelaburan konvensional digunakan untuk 'menampung' simpanan syariah.

Kata agensi itu, simpanan syariah beroperasi secara berasingan daripada skim simpanan konvensional.

"Simpanan syariah memperoleh pendapatan semata-mata daripada portfolio syariahnya, manakala pendapatan yang dijana oleh simpanan konvensional datang dari kedua-duanya iaitu portfolio konvensional dan syariah," katanya kepada NST, Sabtu lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS