Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Arahan kantin sekolah mesti dibuka sepanjang Ramadan keterlaluan’
Diterbitkan:  Mar 12, 2024 12:22 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

PAS beranggapan arahan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek supaya kantin sekolah mesti beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan sebagai keterlaluan.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahaya berkata tindakan menteri berkenaan seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan dan sengaja mencetuskan polemik.

“Mereka (pelajar bukan Islam) boleh hadir ke sekolah dengan bekal makanan dan makan di ruangan yang dibenarkan. Itu sudah memadai tanpa perlu arahan agar kantin dibuka yang dilihat agak keterlaluan.

“Ironinya, Dewan Ulama PAS Pusat melihat menteri sendiri gopoh dalam mengeluarkan arahan sedemikian seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan dan para pelajar Muslim yang harus diasuh untuk berpuasa sejak daripada kecil.

“Perkara sebegini hanyalah mencetuskan polemik tidak perlu dan membuang masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad berkata perkara itu boleh berlaku secara harmoni tanpa perlu ada arahan supaya kantin dibuka sepanjang bulan Ramadan.

“Bukan bermaksud kita menghalang pelajar bukan Islam untuk makan di siang hari, cuma ia juga satu bentuk didikan supaya mereka menghormati bulan Ramadan sejak di alam persekolahan,” katanya lagi.

Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan

Semalam, Fadhlina dilaporkan berkata, adalah penting proses untuk memahamkan pelajar bukan Islam mengenai ibadah puasa yang dijalani rakan beragama Islam agar mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"Kantin mesti dibuka. Kedua mesti ada dari segi pendidikan berkaitan dengan ke arah dan hormat khususnya sekolah-sekolah yang mempunyai anak-anak yang bukan Islam.

"Jadi proses pendidikan untuk memahamkan dan menghormati antara satu sama lain sangat penting,” kata menteri itu.

Sebelum ini, agensi berita nasional Bernama melaporkan Fadhlina menasihatkan pengusaha kantin sekolah untuk terus meneruskan operasi sepanjang bulan Ramadan walaupun sekolah berkenaan mempunyai kurang daripada 10 peratus pelajar bukan Islam.

Dia berkata ini kerana tidak semua kanak-kanak Islam diwajibkan berpuasa terutama pada usia awal selain menghormati orang bukan Islam pada Ramadan.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga adalah ahli Parlimen Pokok Sena berkata, PAS berpandangan bahawa perkara itu telah menjadi uruf setempat dan kebiasaan rakyat di negara ini untuk menghormati umat Islam yang sedang berpuasa termasuk pelajar sekolah.

“Seharusnya kita memulakan langkah dengan memberikan pendidikan terhadap kepentingan berpuasa khusus kepada pelajar yang beragama Islam.

“Golongan pelajar bukan Islam juga akan turut menghayati kepentingan berpuasa walaupun tidak ada paksaan terhadap mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS