Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semak fakta: Dakwaan air kencing, tahi lembu dalam rempah India fitnah
Diterbitkan:  Mar 12, 2024 9:44 AM
Dikemaskini: 1:44 AM

Sebuah video mendakwa rempah dari India mengandungi air kencing dan tahi lembu didapati berunsur fitnah oleh mahkamah di New Delhi tahun lalu, tetapi dakwaan sama masih tersebar dalam bentuk lain, termasuk dalam kalangan pengguna internet di Malaysia.

Di Malaysia, dakwaan itu dibuat menerusi mesej WhatsApp, yang ditulis dalam Bahasa Malaysia, mendakwa Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) mendapati rempah itu mengandungi 18 peratus air kencing dan najis lembu.

"Siapa yang makan kari dan kurma di restoran mamak, restoran Hindu di Malaysia dan siapa yang tempah makanan catering untuk majlis kenduri kahwin dan sebagainya wajib tanya kepada caterer adakah mereka guna kari import peket dari negara India?” mesej itu berbunyi.

Sambil meminta umat Islam berkongsikan mesej berkenaan, ia juga mendakwa produk makanan import dari India bahkan mengandungi tahi tikus, bulu dan serangga mati, tanpa menyatakan sumber kepada dakwaan tersebut.

Semakan Malaysiakini mendapati mesej WhatsApp itu berkemungkinan berdasarkan artikel berita oleh Crescent International, majalah dalam talian kumpulan Islam di Toronto, yang diterbitkan pada 2020.

Artikel itu memetik video YouTube, yang telah diturunkan.

Berkemungkinan video berkenaan diturunkan selepas Mahkamah Tinggi Delhi pada 6 Mei tahun lepas mengarahkan pemilik YouTube, Google LLC, untuk menyekat atau mengalih keluar video itu daripada platform perkongsian video kerana ia merupakan "fitnah" terhadap beberapa jenama rempah ratus.

Dakwaan fitnah itu difailkan oleh jenama rempah ‘”Catch” terhadap pemilik dua saluran YouTube - TYR dan Views NNews - yang memuat naik video itu.

“Video yang dipertikaikan itu mengandungi kenyataan fitnah terhadap produk plaintif tanpa sebarang asas.

“Plaintif telah mencatatkan senarai ramuan yang terkandung dalam produk/rempahnya yang diiklankan dalam video yang didakwa.

“Ia telah mendapat pensijilan daripada semua badan kawal selia yang berkenaan dan malah telah membentangkan laporan analisis makanan bebas oleh makmal yang diperakui, yang tidak menunjukkan kehadiran najis lembu, air kencing lembu atau sebarang bahan cemar lain, seperti yang didakwa dalam video yang diperakui,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Sanjeev Narula seperti yang dilaporkan oleh India Times.

Masih disebar di Facebook, LinkedIn

Walaupun video yang dipautkan oleh Crescent International tidak lagi tersedia di YouTube, ia masih beredar di platform lain, termasuk LinkedIn dan Facebook, di mana ia telah dikongsi dalam beberapa minggu lalu.

Video itu memaparkan imej pelbagai jenis rempah ratus yang dikeluarkan oleh jenama dari India, dan apa yang kelihatan sebagai alih suara yang dijana AI yang mendakwa ia mengandungi tahi lembu dan air kencing, selain mengaitkannya dengan dasar mesra Hindu Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Video itu juga memetik laporan berita yang tidak berkaitan tentang penggunaan air kencing dan najis lembu dalam produk lain yang dibuat di India dan pasaran untuk produk tersebut.

Begitu juga, dalam artikelnya yang mendakwa rempah dari India mengandungi air kencing dan tahi lembu, Crescent International turut menyokong dakwaannya dengan memetik laporan lain yang tidak berkaitan mengenai produk yang dibuat menggunakan tahi lembu atau air kencing.

Salah satu daripadanya ialah laporan BBC pada 2015, yang menampilkan Yayasan Lembu Suci, yang menjaga lembu terbiar.

Yayasan itu mengeluarkan syampu, pelitup muka, dan produk pembersih menggunakan air kencing lembu suling atau abu daripada najis lembu, namun tidak mengeluarkan rempah.

Yayasan itu berkata ia menghasilkan produk tersebut untuk menunjukkan bahawa lembu yang tidak lagi menghasilkan susu masih mempunyai nilai, dan tidak boleh ditinggalkan atau dihantar ke pusat penyembelihan.

Crescent International menyifatkan laporan BBC ini sebagai "penyiasatan" tetapi ia adalah sebahagian daripada siri laporan mengenai perniagaan di India dan bukan laporan wartawan penyiasat.


Malaysiakini dan MyCheck adalah sebahagian daripada pasukan pemeriksa fakta JomCheck.

Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian 017-477 6659 (teks WhatsApp sahaja, tiada bukan panggilan) atau melalui pautan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS