Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jangan hipokrit - itu 'pesanan' dibuat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kepada pihak yang terus mencetuskan polemik mengenai kewajaran sekolah vernikular diteruskan di negara ini.

Mendakwa ramai daripada kalangan ahli politik dalam negara yang tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan, Syed Saddiq berkata, isu tersebut wajar dilihat dengan lebih menyeluruh.

"Kita selalu membandingkan sekolah kebangsaan dengan sekolah vernakular, tapi saya harap mereka (ahli politik terbabit) tidak hipokrit.

"Cuba buat kajian, tengok para menteri atau mantan menteri.

"Tengok anak dan cucu mereka, dan lihat ahli-ahli parlimen yang kaya-raya ini, ke mana mereka hantar anak-anak mereka?

"Kebanyakannya dihantar ke sekolah swasta dan sekolah antarabangsa dengan yuran bulanannya mencecah ribuan ringgit," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Polemik sekolah vernakular kembali hangat selepas Pemuda Umno Malaysia menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan semasa.

Ketuanya, Akmal Saleh, berkata penilaian itu perlu dilakukan dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Teliti faktor penarik ibu bapa

Ia mengundang pelbagai reaksi sama ada menyokong atau membantah, meliputi blok kerajaan atau pembangkang.

Syed Saddiq berkata pembuat polisi sepatutnya memikirkan punca sekolah aliran selain sekolah kebangsaan menjadi pilihan sesetengah ibu bapa.

"Kita perlu jujur dan ikhlas dalam merangka hala tuju pendidikan negara, tak boleh cepat menyalahkan sistem pendidikan alternatif tanpa kita sedar apa masalah sistem yang tersedia.

"Mengapa ada ibu bapa, termasuk orang Melayu Islam menghantar anak mereka ke sekolah vernakular dan juga sekolah antarabangsa atau swasta?" katanya.

Bekas menteri belia dan sukan itu juga mempersoalkan pihak yang sanggup membelanjakan wang yang besar semata-mata untuk membolehkan anak mereka ke sekolah bukan aliran kebangsaan.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Katanya kadar bayaran untuk sesetengah sekolah berkenaan adalah tinggi malah dua kali ganda berbanding purata gaji rakyat Malaysia.

Menurut Syed Saddiq, rata-rata ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular disebabkan infrastruktur yang lebih baik berbanding sekolah kebangsaan.

Selain itu, dakwanya, isu peruntukan yang tidak mencukupi dan soal penguasaan bahasa ketiga menjadi sebab utama mereka memilih sekolah vernakular.

"Sebagai penyokong tegar sistem pendidikan kebangsaan, saya mencadangkan agar sistem berkenaan diperkukuhkan," katanya.

Hal itu kerana, menurut Syed Saddiq, di banyak negara maju kini mereka turut menekankan kepentingan menguasai bahasa ketiga.

"Ada banyak cara boleh dilakukan untuk memperkasakan sekolah kebangsaan.

"Kita tak perlu paksa ibu bapa hantar anak ke sekolah kebangsaan kerana tindakan memilih sekolah lain disebabkan mereka menganggap itulah pilihan yang terbaik," katanya.

Tambah Syed Saddiq lagi, trend menghantar anak ke sekolah bukan aliran kebangsaan turut diambil sebahagian besar keluarga Melayu golongan pertengahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS