Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pindaan hak kewarganegaraan - Saifuddin yakin dapat sokongan MP

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yakin akan mendapat sokongan daripada ahli parlimen dalam usaha kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung peruntukan mengenai hak kewarganegaraan.

Ini susulan penentangan terbuka daripada ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, semalam yang berkata kerajaan tidak mempunyai sebab untuk meminda peruntukan yang memberikan kewarganegaraan melalui undang-undang kepada kanak-kanak terbiar.

“Saya sekarang dalam siri memberi penjelasan kepada ahli parlimen,”kata Saifuddin ketika ditanya sama ada dia akan memberi penjelasan kepada wakil rakyat yang telah menyuarakan bantahan dan kebimbangan mereka mengenai cadangan pindaan itu.

“Dan saya yakin jika saya berpeluang untuk terus memberikan penjelasan macam ini, seperti sekarang saya jelaskan pada wartawan dan mereka bantu tulis, saya ingat saya yakin pindaan ini boleh mendapat sokongan yang diperlukan,” katanya selepas merasmikan Dialog Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2024 di Maktab PDRM, di Kuala Lumpur, hari ini.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sedang mengadakan siri penjelasan kepada Ahli Parlimen berkaitan langkah kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung peruntukan hak kewarganegaraan kanak-kanak.

Beliau berkata penjelasan itu diharap dapat menjawab pelbagai persoalan yang timbul berkenaan pindaan tersebut susulan bantahan oleh sesetengah pihak.

"Saya yakin jika saya terus berpeluang beri penjelasan seperti ini, pindaan ini boleh mendapat sokongan yang diperlukan (di Parlimen)," katanya selepas merasmikan Dialog Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2024 di Maktab PDRM, di Kuala Lumpur hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim daripada PKR pada Ahad lepas menyuarakan ikrar untuk membantah cadangan pindaan itu dan mendakwa tiada sebab untuk meminda peruntukan yang telah berkuat kuasa selama ini.

Bantahan yang disuarakan itu berhubung cadangan meminda Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak terbuang menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Saifuddin Nasution turut mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan baki 14,000 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15a Perlembagaan Persekutuan secara kuat kuasa undang-undang bagi anak luar nikah, anak angkat atau anak terbiar yang melebihi umur bayi sebelum 31 Dis ini.

Beliau berkata secara keseluruhannya, terdapat 59,000 permohonan di bawah kategori itu sejak 2013 sehingga kini dengan 35,000 daripada jumlah itu telah diproses dan 98 peratus berjaya mendapat kewarganegaraan.

Selain itu, Saifuddin Nasution berkata terdapat 142 permohonan kewarganegaraan bagi bayi terdampar (dijumpai) yang diluluskan sejak 2014 sehingga tahun lepas yang diperolehi dengan menyediakan laporan polis, hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengulas mengenai kes ajaran Ahmadi - Agama Keamanan dan Cahaya, Saifuddin Nasution berkata pihaknya telah berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar untuk mengetahui jika ajaran tersebut mempunyai unsur ancaman ketenteraman dan keselamatan awam.

“Jadi, interaksi saya dengan (Mohd) Na’im begitu kerap dan dekat, buat masa sekarang ia (siasatan mengenai akidah yang dijalankan) adalah memadai, Mohd Na’im dan pihak polis (akan mengambil tindakan jika) ia membabitkan ketenteraman awam,” katanya

Khamis lepas Mohd Na'im dilaporkan berkata ajaran Ahmadi - Agama Keamanan dan Cahaya bertentangan dengan syariat Islam, selain pihaknya telah memastikan semua kandungan mengenai ajaran itu di media sosial diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan PDRM dengan segera bagi mengelakkan masyarakat terpengaruh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS