Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mabuk ke apa' - Akmal perli Ramasamy
Diterbitkan:  Mar 11, 2024 8:15 AM
Dikemaskini: 12:15 AM

Ketua Pemuda Umno Akmal Salleh menyoal logik di sebalik menyokong "Bangsa Malaysia" sambil memperkukuhkan sekolah vernakular.

Dalam sanggahan terhadap bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy (gambar bawah), Akmal berkata hujah sedemikian menjadi punca perpaduan kaum tidak dapat dipupuk.

"Kata parti kamu berbilang kaum, mahu membentuk bangsa Malaysia, tetapi bab pendidikan nak diasingkan?

"Orang politik seperti kamu inilah yang menjadi punca perpaduan antara kaum selama ini tak dapat disuburkan.

"Kamu mabuk ke apa," katanya pada hantaran Facebook malam tadi.

Ungkapan 'mabuk ke apa' merujuk keadaan seseorang itu keliru atau tidak masuk akal.

Bagaimanapun, ungkapan mabuk juga merupakan stereotaip perkauman yang biasa ditujukan terhadap orang India.

Untuk rekod, Urimai parti baru yang diasaskan Ramasamy terbuka kepada semua kaum, tetapi "fokus kepada kaum India."

Pada Rabu (6 Mac), Akmal mencadangkan agar Putrajaya memperhalusi sistem persekolahan, berkata mungkin sudah tiba masanya untuk sistem pendidikan satu aliran dilaksanakan.

Dia menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap sistem pendidikan vernakular, dengan menerapkan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sebagai maklum balas, Ramasamy berkata Akmal silap menyalahkan sekolah vernakular sebagai punca perpecahan kaum dan sebaliknya menyalahkan politik.

Mahkamah Persekutuan bulan lepas telah menolak rayuan oleh dua NGO yang mahu mengisytiharkan sekolah vernakular tidak berperlembagaan, sekali gus melindungi perlembagaan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS