Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nilai secara menyeluruh ekosistem pendidikan vernakular - Pemuda Umno
Diterbitkan:  Mar 9, 2024 3:17 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Pemuda Umno menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang kini merangkumi lebih 1,800 sekolah jenis kebangsaan, kata ketuanya, Akmal Saleh.

Akmal berkata penilaian itu perlu dilakukan dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, kajian menyeluruh berhubung ruang dan peluang penambahbaikkan ekosistem pendidikan kebangsaan juga perlu dilakukan bagi memberi insentif dan tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa.

"Pegerakan Pemuda Umno Malaysia dengan ini mencadangkan agar dihidupkan kembali suatu ruang dialog nasional bagi Malaysia meneroka wawasan baharu ke arah integrasi pendidikan negara dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

"Menginsafi kerumitan, sensitiviti dan polemik yang melingkari isu ini, kerajaan tidak mempunyai pilihan melainkan untuk menerajui usaha ini bagi memastikan ia diurus dalam kerangka yang penuh cermat, di luar pengaruh sentimen, syak wasangka dan hasutan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Akmal, pihaknya melihat dengan penuh khuatir akan perkembangan mutakhir mengenai isu sekolah vernakular.

Katanya ia mencerminkan bahawa setelah hampir 70 tahun kemerdekaan dicapai, masih wujud jurang nilai dan pemisahan persefahaman di antara rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

"Pergerakan Pemuda Umno Malaysia berpandangan bahawa ketegangan yang kian melarat ini adalah berakar daripada sistem pemisahan dan pengasingan yang dilaksanakan bermula di peringkat paling asas kehidupan rakyat, iaitu sejak dari bangku sekolah.

"Sudah tiba masa dan ketikanya untuk Malaysia menoktahkan pemisahan dan pengasingan itu," tegasnya.

Sekolah vernakular Cina sekali lagi diperkatakan selepas ahli parlimen DAP Teresa Kok menggesa pihak berkuasa menyiasat ahli akademik Teo Kok Seong atas dakwaaan menyemai sikap perkauman.

Dalam video TikTok yang disiarkan Merdeka Times, profesor itu mendakwa sekolah vernakular menjadi tembok penghalang kepada perpaduan negara apabila pelajar Cina yang kurang cerdik hanya mampu menguasai bahasa Mandarin, yang membataskan pergaulan dengan bangsa lain.

Teo juga mendakwa pelajar dari sekolah Cina turut memandang rendah dan memperlekehkan orang Melayu selain gagal berasimilasi dengan budaya tempatan.

Bagaimanapun Teresa berkata dakwaan Teo itu bukan sahaja tidak benar tetapi juga berniat buruk serta menyemai kebencian kaum.

Kata Teresa sebahagian besar individu daripada latar belakang sekolah Cina tidak menyimpan sentimen sedemikian dan aktif menyumbang kepada masyarakat.

Pada Januari lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga mendakwa masyarakat Cina dan India tidak menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia dan masih terikat dengan "negara asal mereka".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS