Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mindef teliti semua faktor siasat aduan pegawai salah guna kuasa
Diterbitkan:  Mar 9, 2024 1:34 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Kementerian Pertahanan (Mindef) memberi jaminan akan melihat semua faktor termasuk pengasingan kuasa agar siasatan berkaitan salah guna kuasa dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilakukan dengan lebih terbuka dan telus.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pihaknya mempunyai proses dan prosedur operasi standard (SOP) tersendiri dalam memberi keadilan kepada pihak terlibat apabila ada sesuatu isu berbangkit, terutamanya berkaitan masalah salah guna kuasa yang dilakukan oleh mana-mana pihak tanpa mengira pangkat.

"Kami di kementerian tidak nafikan menerima semua laporan sama ada pada peringkat dalaman atau luar termasuk melibatkan laporan polis dan kerana itu siasatan peringkat dalaman amat penting.

"Sekiranya ada terkait dengan pegawai-pegawai tertentu, kita ketepikan dulu kuasa pegawai terbabit supaya penyiasatan dapat dilakukan secara bebas, manakala mangsa ini dapat keluar daripada trauma," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Karnival Rahmah Parlimen Alor Gajah di Dataran Keris Alor Gajah hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh seorang pegawai kanan pasukan itu terhadap seorang lagi pegawainya di Sarawak.

Markas TDM dalam kenyataan memaklumkan laporan polis telah dibuat mangsa pada Ahad lepas berikutan kejadian yang didakwa berlaku semasa mangsa sedang menjalani latihan peringkat formasi.

Laporan berkenaan telah tular dalam media sosial.

TDM juga menjelaskan, sebagai tindakan pegawai kanan terbabit dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan mereka melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.

Mengulas lanjut, Adly berkata Kementerian Pertahanan sentiasa bersikap terbuka dalam menerima laporan dan pihak yang tidak berpuas hati selepas siasatan dilakukan boleh mengemukakannya kepada kementerian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS