Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kebebasan bersuara: Mereka semua hipokrit, kata Muhyiddin

PN hari ini menegaskan kerajaan perpaduan - yang turut disertai PH - ketika ini beramal dengan sistem autokrasi dan petanda itu terjelma seawal mereka membentuk kerajaan.

Muhyiddin Yassin berkata, PN sebaliknya memang tidak bercakap mengenai demokrasi dengan berlebihan seperti PH namun menurutnya terbukti lebih demokratik.

"Kita tak bercakap berdegar-degar tentang demokrasi, tetapi kita amalkan demokrasi.

"Mereka (PH) bercakap berdegar-degar tentang demokrasi, tetapi mengamalkan autokrasi," katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Wakil-wakil Rakyat PN di Kuala Lumpur, hari ini.

Ia disertai 220 wakil rakyat PN sama ada ahli parlimen atau Adun di seluruh negara.

Turut hadir pemimpin kanan parti komponen PN termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Konvensyen tersebut diadakan tidak lama selepas Bersatu meminda perlembagaannya sebagai langkah mengekang lebih ramai wakil rakyat mereka memberikan sokongan kepada kerajaan perpaduan.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN sebelum itu menyentuh pendirian kerajaan perpaduan mengenai kebebasan media termasuk media sosial.

Negara ada undang-undang

Bekas perdana menteri itu merujuk kepada hantaran video TikTok Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin, yang didakwa disekat kerana mengulas mengenai kejatuhan nilai ringgit.

"Kenapa harus disekat? Bukankah dahulu mereka yang paling lantang memperjuangkan kebebasan media?

"Kononnya mereka memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia. Kenapa apabila jadi kerajaan, mereka dengan rakusnya menggunakan kuasa untuk menyekat kebebasan?

"Ternyata, mereka semua hipokrit," katanya lagi.

Dia yang juga presiden Bersatu turut mendakwa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim cuba mengawal naratif politik di media sosial kerana mereka mula kehilangan keyakinan daripada rakyat.

Radzi Jidin

Muhyiddin berkata sekarang rakyat mengeluh dengan pelbagai isu yang timbul termasuk kenaikan harga barang serta penurunan nilai ringgit.

"Mungkin Kerajaan Madani sedar bahawa mereka sedang berhadapan dengan masalah “trust deficit” rakyat yang kronik. Maka dengan itu mereka cuba mengawal naratif di media sosial.

"Mereka tak mahu rakyat mengkritik kerajaan kerana kelemahan-kelemahan mereka sendiri dan menjadikan mereka semakin tak popular.

"Kerana itu media sosial dikawal ketat," tambahnya.

Kata Muhyiddin lagi, ketika dia menjadi perdana menteri, pelbagai tohmahan dilemparkan terhadapnya dan kerajaan PN namun di sebalik semua itu tiada sekatan dikenakan ke atas suara rakyat.

"Tak pernah sekali pun saya arahkan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) atau TikTok sekat video atau hantaran rakyat di media sosial.

"Itu prinsip kita (PN) dalam mentadbir negara.

"Negara kita ada undang-undang dan kuasa kerajaan dihadkan oleh undang-undang. Kerajaan tak boleh bertindak sesuka hati menyekat hak kebebasan rakyat melainkan mereka melakukan kesalahan di sisi undang-undang," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS