Sekolah vernakular kembali menjadi topik perbincangan selepas seorang ahli akademik berkata sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) menjadi tembok penghalang kepada perpaduan kaum.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Teo Kok Seong antara lain berkata perpaduan sukar dicapai apabila pelajar Cina hanya bergaul sesama mereka berikutan penguasaan bahasa ibundanya.
Dengan jumlah pelajar bukan Cina yang kian meningkat di sekolah itu, beberapa bekas pelajar dan pelajar mengungkapkan pengalaman berbeza sepanjang belajar di sekolah tersebut.
Menurut bekas pelajar SJK(C) Masai di Johor, Faezal Mukhtar, pelajar Cina turut menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris memandangkan dua bahasa itu diajar di kelas.
“Mereka malah memberikan bantuan dalam penguasaan bahasa Cina tanpa sebarang prejudis di dalam kelas,” kata pemuda berusia 24 tahun itu, sambil menambah dia masih berhubung dengan rakan-rakan sekolah walau kebanyakannya sudah melangkah ke alam pekerjaan.
Begitu juga dengan Jon Galimam, seorang pelajar SJK(C) di Kota Kinabalu, Sabah, yang berkata bahasa lain turut digunakan meskipun Bahasa Cina tetap menjadi bahasa utama pelajar.
Galimam juga bekata dia memiliki banyak pengalaman positif bersama pelajar lain, termasuk daripada kaum lain.
Ketika sambutan Tahun Baru Cina, dia teruja dapat menyaksikan tarian singa serta menerima angpao daripada rakan sekolah, katanya lagi.
Menurut Berita Harian pada 19 Februari lalu, Timbalan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Abd Ghani Zainudin berkata semakin ramai ibu bapa Melayu memilih sekolah Cina kerana mahukan anak mereka mempelajari Bahasa Mandarin.
Abd Ghani juga membangkitkan kemudahan sekolah yang baik sebagai satu lagi faktor sekolah itu kian menjadi pilihan.
Sementara itu, Sharvill Raj, 26, berkata dia lebih gemar bertutur dalam Bahasa Mandarin ketika di sekolah kerana lebih mudah memahaminya.
Dia juga berkata tidak pernah rasa disisihkan, terutama daripada pelajar kaum lain, dan banyak kenangan manis yang dikutip sepanjang bersekolah di SJK (C) Ping Ming di Johor Bahru.
“Malah seorang guru mengambil saya sebagai anak angkat,” katanya lagi.
Seorang lagi bekas pelajar, Jesmine Nur turut menyangkal tanggapan sekolah Cina menyemai sikap perkauman walaupun dia memiliki pengalaman yang kurang baik ketika belajar.
Namun, bagi wanita berusia 23 tahun itu, ia lebih kepada masalah individu dan bukannya berpunca daripada institusi sendiri.
“Saya seorang pengawas, pernah dipanggil Melayu bodoh oleh pelajar Cina yang nakal sebab saya tegur pakaian mereka yang tidak kemas.
“Tetapi kalau nak dikaitkan dengan kaum, semua pelajar nakal sama tanpa mengira kaum,” katanya kepada Malaysiakini.