Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kabinet setuju cadangan pindaan perlembagaan hak kerakyatan'

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kabinet hari ini memberikan persetujuan terhadap draf pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan.

Saifuddin berkata pihaknya berharap semua pindaan yang dicadangkan dapat diluluskan tahun ini.

"Hari ini saya telah bentangkan (cadangan draf pindaan) dan kabinet telah memberikan greenlight sepenuhnya," katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.

Saifuddin berkata pihaknya akan menjalankan proses seterusnya, seperti mengadakan sesi penerangan kepada media, libat urus dengan tokoh dan badan sivil serta dengan ahli parlimen yang akan mengundi untuk pindaan tersebut nanti.

Pada bulan lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata pihaknya akan membentangkan cadangan pindaan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, kepada Jemaah Menteri.

Draf tersebut dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.

Draf tersebut dipinda selepas melalui beberapa sesi libat urus termasuk bersama pakar Perlembagaan Persekutuan, aktivis sosial, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan aktivis muda.

Mengulas lanjut, Saifuddin menolak dakwaan aktivis bahawa terdapat cadangan pindaan lain yang bersifat regresif.

Antara yang dibangkitkan aktivis adalah cadangan menghapuskan kewarganegaraan automatik kepada anak yang dibuang dan kemudian dipelihara oleh pihak lain, anak-anak terbiar dan anak-anak pemastautin tetap.

Mengulas perkara itu, Saifuddin menyebut statistik kes bayi terdampar atau foundling baby - terma yang digunakan bagi bayi yang diabai ibu bapa kandung dan dijaga pihak lain.

"Di bawah Perkara 19B Perlembagaan Persekutuan, apabila seorang anak (kanak-kanak atau bayi) ditemui atau terdampar, pihak yang menjumpai itu wajib melaporkan.

"Kemudian laporan disediakan kepada Jabatan Kebajikan, pihak Polis dan hospital. Anak itu boleh mendaftarkan kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang," katanya.

Saifuddin berkata daripada 149,000 permohonan bagi mendapatkan kewarganegaraan, hanya 49,000 permohonan yang belum diluluskan.

Bagi permohonan di bawah Perkara 15A berkaitan permohonan anak yang lahir di luar perkahwinan atau ibu bapa yang mengambil anak angkat pula, dia berkata sebanyak 59,000 permohonan dibuat dengan 14,000 belum diluluskan.

“(Kadar) Kelulusan bagi setiap permohonan adalah kira-kira 98 peratus

"Baki 14,000 permohonan di bawah Perkara 15A itu pun akan diselesaikan dalam masa sembilan bulan sebelum 31 Disember tahun ini.

"Jadi di mana yang kita tutup ruang untuk menjadi warga negara?" katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS