Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pahang sedia 'halalkan' aktiviti melombong mineral

Kerajaan Pahang sudah memperkenalkan skim pelombong kecil (SPK) dalam usaha 'menghalalkan' aktiviti perlombongan mineral di negeri itu.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata melalui SPK - yang mula dikeluarkan sejak dua tahun lalu - kerajaan negeri sudah memperoleh pendapatan berjumlah RM2.5 juta.

"Sebelum ini ada rakyat yang menganggap bahawa sekiranya mereka ada tanah dan ada bahan (mineral) di bawah tanah tersebut, mereka mengatakan itu hak mereka.

"Sedangkan dalam enakmen tanah kerajaan negeri mengatakan apa jua hasil mahsul di bawah tanah adalah milik kerajaan.

"Untuk tujuan itu, Pahang tidak menghalang mereka yang ada tanah untuk mengeluarkan mineral, tetapi mereka kena mohon dengan kerajaan negeri," katanya ketika ditemui media di Kuantan, hari ini.

Terdahulu Wan Rosdy merasmikan Akademi Mineral Malaysia Pahang di sebuah hotel dekat bandar raya Kuantan.

Dia turut memberitahu sejak SPK diperkenalkan, kerajaan Pahang sudah mengeluarkan 56 lesen kepada pemilik tanah untuk membolehkan mereka menjalankan aktiviti melombong bahan mineral di tanah masing-masing.

Katanya, semua lesen itu dikeluarkan di mukim Kechau, dekat Lipis.

Wan Rosdy turut menjelaskan tujuan utama kerajaan negeri memperkenalkan SPK adalah untuk memastikan harga bahan mineral yang dilombong oleh orang perseorangan - seperti emas - lebih stabil dan tidak dimanipulasi oleh orang tengah.

"Apabila ada SPK ini, kita boleh kawal harga dan mereka mendapat pulangan yang lebih baik.

"Bahan mineral itu juga boleh dipasarkan dengan lebih sistematik berbanding sebelum ini... sampai empat lima orang peraih," katanya.

Selain itu Wan Rosdy juga menegaskan keinginan kerajaan Pahang mengekang kegiatan perlombongan haram.

"Kerajaan negeri nak cuba pastikan aktiviti melombong secara haram jadi zero (kosong).

"Walaupun agak mustahil, tapi ia boleh dicapai dengan cara kita 'halalkan' kegiatan itu melalui kebenaran dan sebagainya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS