Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MNS ajak saksikan burung pemangsa hijrah di Tanjung Tuan
Diterbitkan:  Mar 7, 2024 3:50 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) akan menganjurkan Program 'Raptor Watch' kali ke-25 di Tanjung Tuan, Alor Gajah selama dua hari bermula Sabtu (9 Mac) ini.

Pengarah Eksekutif MNS IS Shanmugaraj berkata penganjuran program itu bagi meraikan penghijrahan burung pemangsa melintasi Selat Melaka dari Pulau Rupat, Indonesia ke Tanjung Tuan sejauh kira-kira 45 kilometer (km) untuk pulang ke tempat pembiakan mereka di hemisfera utara.

Beliau berkata menerusi program memerhati burung pemangsa itu, orang ramai berpeluang menyaksikan penghijrahan kumpulan raptor tersebut bermula 10 pagi hingga 4 petang.

"Penghijrahan burung pemangsa berkenaan bermula pada hujung Februari lepas dan dijangka berakhir pada pertengahan April ini manakala pada Mac ini merupakan kemuncak proses penghijrahan kumpulan raptor itu.

"Dianggarkan puluhan ribu burung pemangsa akan merentasi Selat Melaka untuk pulang ke hemisfera utara melibatkan jarak lebih 10,000 km seperti China, Jepun, Korea, Siberia dan India serta pergerakannya dibantu tekanan haba dan angin dari arah barat atau barat daya," katanya ketika dihubungi Bernama di Melaka hari ini.

Beliau berkata kumpulan haiwan pemangsa itu akan meluncur di udara melintasi Selat Melaka ke Tanjung Tuan dan sebahagiannya akan berhenti antara satu hingga dua hari di Tanjung Tuan memandangkan kawasan tersebut merupakan hutan simpan yang menjadi pelindung untuk kumpulan burung itu sebelum meneruskan penghijrahan.

Beliau berkata Program 'Raptor Watch' berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai melihat lebih dekat penghijrahan burung pemangsa, malah mendidik dan memberi pengetahuan berkaitan haiwan itu kepada generasi muda serta mempromosikan produk pelancongan itu.

Shanmugaraj berkata MNS juga sedang menjalankan kajian berkaitan penghijrahan kumpulan raptor itu khususnya jumlah burung yang melintasi Selat Melaka dalam tempoh dua minggu bermula 4 Mac lalu.

Beliau berkata kajian itu penting bagi mendapatkan anggaran jumlah raptor berkenaan dan perbandingan jumlah tersebut pada tahun ini dan tahun lepas.

Sementara itu, katanya selain menyaksikan penghijrahan burung pemangsa, pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang penganjuran program itu antaranya pameran berkaitan burung pemangsa yang turut melibatkan pakar burung pemangsa dan pameran melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Pada program itu juga, orang ramai turut berpeluang mendapatkan ilmu berkaitan penggunaan dan penggendalian lensa dan kamera bagi merakam gambar raptor tersebut di bahagian kaki bukit Tanjung Tuan," katanya.

Raptor ialah burung jenis maging bercirikan pemburu dan pemangsa seperti sayap ringan, mata tajam, paruh bercangkuk, kuku besar dan tajam.

Pada musim sejuk di hemisfera utara, ketika sumber makanan di kawasan pembiakan menurun, ia akan berhijrah ke selatan yang panas kerana makanan lebih mudah didapati.

Antara burung pemangsa yang sering berhijrah ke Selat Melaka pada setiap Mac adalah Helang Lebah, Helang Baza Berjambul, Helang Sewah, Alap-Alap Cina, Helang Merah dan Lang Baza Hitam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS