Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan akan teliti semula pelan tindakan masyarakat India

Kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India dalam memperkasakan komuniti itu, selaras dengan kerangka Ekonomi Madani yang menekankan komitmen untuk menoktahkan kemiskinan tegar semua kaum.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memaklumkan satu sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk kumpulan fokus akan diadakan bulan ini.

“KPN melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) komited menambah baik pembangunan sosioekonomi masyarakat India melalui pemerkasaan pelbagai inisiatif dan program bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat India termasuk bidang pendidikan, ekonomi dan sosial.

Program peningkatan kemahiran, pembangunan modal insan dan peluang keusahawanan juga akan terus diperkukuh bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah masyarakat India yang berpendapatan rendah (B40),” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.

Kementerian itu menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang ingin tahu perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi Mitra untuk membangunkan sosioekonomi masyarakat India.

- Bernama


Dalam pada itu, satu kaji selidik untuk memahami cabaran dihadapi masyarakat India di Malaysia terhadap akses pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan dan program kebajikan sosial akan dijalankan bermula esok hingga 18 Mac ini, kata Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

KPN berkata kaji selidik dijalankan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) itu akan menjadi platform bagi merancang hala tuju program pembangunan sosioekonomi dan membantu pengurusan proses peruntukan dana yang cekap selaras dengan isu-isu utama yang dikenal pasti.

“KPN mengalu-alukan penyertaan masyarakat India Malaysia untuk memberi maklum balas bagi membentuk masa depan pembangunan komuniti yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kaji selidik boleh diakses melalui pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSetBOKwveCX_fv9Poo7GzfDZXS 1TN8vuUyaePOyIUOhPHR7aQ/viewform?usp=sf_link.

Sebarang maklumat lanjut mengenai kaji selidik itu boleh dibuat dengan melayari laman sesawang rasmi KPN atau hubungi pejabat MITRA di talian 03-8886 6221.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS