Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

WAWANCARA | Pemerhati kebebasan media antarabangsa, Reporters Without Borders (RSF), menyatakan rasa 'teramat risau' mereka dengan perkembangan terbaru di Malaysia berhubung pengenalan kod etika wartawan oleh kerajaan.

Ketua Biro RSF Asia-Pasifik Cedric Alviani berkata Malaysia berada di persimpangan yang penting walaupun terdapat penambahbaikan yang jelas dalam isu kebebasan media.

Pada pandangan RSF, katanya, tindakan kerajaan mengambil peranan aktif memantau media adalah langkah ke belakang.

Katanya jika tidak dikendalikan dengan betul apa yang akan berlaku ialah Malaysia berundur kepada peraturan menindas yang pernah wujud pada suatu masa lalu.

"Ini kerana kerajaan secara paksa mahu mencipta beberapa mekanisma yang sepatutnya dibuat oleh wartawan atau kumpulan dalam organisasi media sendiri.

"Kerajaan sepatutnya tidak boleh memaksakan kod etika yang ditulis oleh mereka kerana ia sepatutnya ditulis oleh majlis media apabila ia ditubuhkan," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Alviani, RSF sangat bimbang dengan perkembangan itu kerana di Asia terdapat banyak kuasa autoritarian yang tidak menghormati kebebasan media dan demokrasi.

“China sedang memberikan pengaruh yang sangat jahat dan mendorong kuasa-kuasa autoritarian menjadi lebih mencengkam dengan mengambil langkah seperti peraturan antiberita palsu.

"Justeru kita memerlukan demokrasi untuk menjadi kuasa pengimbang di rantau ini.

“Kita memerlukan demokrasi untuk menjadi sebuah kuasa sanggah (counter power) di rantau ini, dan kita tidak mempunyai banyak sistem demokrasi yang berfungsi baik untuk bekerjasama.

"Malaysia adalah salah satu contoh terbaik - jika bukan yang terbaik - dalam demokrasi dan kebebasan akhbar di rantau ini," katanya.

Kedudukan ranking memang meningkat

Menurut Alviani lagi Malaysia perlu membuat tindakan lebih baik berbanding apa yang dilakukannya sekarang.

Pengenalan kod etika itu, tambahnya, boleh memberikan imej sangat negatif kepada Malaysia.

Isu kod etika diperkenalkan kerajaan menjadi topik hangat selepas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkannya pada Feb lalu. Melalui kaedah itu kerajaan akan menggunakan piawaian tunggal dalam menguruskan pas perakuan media kepada wartawan.

Fahmi berkata Majlis Media Malaysia (MMM) - yang merupakan badan dirancang untuk mengawal selia media secara kendiri - boleh mempunyai kodnya sendiri, tetapi ia tidak akan diambil Jabatan Penerangan (Japen) dalam menentukan pas media dikeluarkan atau dibatalkan.

Dia turut mengesahkan bahawa kad akreditasi media bukanlah lesen untuk seseorang mengamalkan kewartawanan seperti yang diberikan kepada pengamal perubatan atau undang-undang.

Menurut Fahmi, kad media hanyalah satu cara untuk memudahkan akses media ke acara-acara rasmi.

Terdapat tentangan yang signifikan daripada industri terhadap keputusan kerajaan. Antara lain mereka mempersoalkan potensi berlaku pertindihan kod etika dikeluarkan kerajaan dengan apa yang diterima MMM.

RIsiko lain yang dibimbangi ialah kemungkinan berlaku cubaan untuk menyekat akses kepada media.

Alviani berkata penting untuk diingati bahawa selepas BN ditumbangkan dalam PRU ke-14 pada 2018, terdapat peningkatan yang ketara pada isu kebebasan akhbar di Malaysia.

“Sangat jelas bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa peningkatan dalam situasi tersebut.

"Sebenarnya, peningkatan ini terlihat dalam Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia yang diterbitkan oleh RSF apabila kedudukan Malaysia dalam ranking berkenaan meningkat kepada nombor 73 tahun lalu,” katanya.

Rugi jika potensi disia-siakan

Menurut Alviani lagi dia percaya penambahbaikan tersebut sejajar dengan perubahan yang berlaku ekoran kekalahan kerajaan pimpinan Najib Razak yang sebelum itu memperkenalkan akta antiberita palsu.

"Bukan kita nak kata Malaysia tak layak, tapi saya memahami bahawa tahun lalu - terutama pada bulan-bulan terakhirnya - kita merasakan bahawa kerajaan menggunakan peningkatan ranking tersebut sebagai petanda kehormatan untuk dasar-dasar mereka, ketika bukan semuanya benar, dan ia sangat penting untuk dinyatakan.

"Peringkat kebebasan akhbar oleh RSF tidak menghakimi keberkesanan dasar-dasar kerajaan," katanya.

Tambah Alviani RSF memahami dalam usaha mengawal penyebaran berita palsu dan menangani maklumat salah, pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu mengambil pendekatan yang "mulia dan demokratik".

"Ia mesti diinspirasikan oleh apa yang dilakukan oleh demokrasi lain. Beri lebih banyak ruang kepada media, wartawan, dan masyarakat sivil.

"Bekerjasama dengan mereka untuk membangunkan satu set peraturan yang lebih menghormati kedaulatan undang-undang, lebih menghormati kebebasan media dan hak untuk maklumat, atau mereka akan kembali kepada kaedah autoritarian lama, apabila kerajaan menentukan peraturan dan memaksakannya atas rakyat," katanya.

Alviani berkata Malaysia adalah salah satu negara demokrasi yang berpotensi baik di rantau ini namun mungkin ia menjadi sia-sia jika kerajaan merosakkannya dengan mengambil langkah mundur.

Pada masa yang sama, Alviani mengakui usaha mengekang penyebaran berita palsu dan maklumat palsu serta ucapan kebencian merupakan cabaran utama bagi kerajaan di dunia hari ini.

"Pertama sekali, kita mengakui sepenuhnya bahaya dibawa oleh maklumat yang salah untuk demokrasi. RFS sebenarnya berada berada di barisan hadapan dalam memerangi penyebaran maklumat yang salah dan berita palsu.

"Kami mengakui sepenuhnya bahawa kami tidak memperjuangkan kebebasan bersuara mutlak, atau tanpa sebarang kawalan kerana ia boleh menyebabkan pembunuhan dan banyak penyalahgunaan kuasa.

"Memang kebebasan bersuara memerlukan batasan, tetapi batasan tersebut haruslah munasabah, minimal, dan berkadar dengan ancaman dan demokratik.

"Maksudnya batasan itu harus diterima oleh rakyat, bukan kerajaan," katanya.

Tambah Alviani, langkah tersebut harus mengikut proses undang-undang.

Pada masa sama dia menegaskan terdapat perbezaan yang ketara di antara langkah menapis media sewenang-wenangnya dengan memerangi secara jujur maklumat tidak benar.

Katanya tidak boleh diterima untuk mana-mana negara memutuskan sendiri kandungan mana yang dianggap berita palsu dan maklumat mana yang tidak benar, serta sebaliknya.

"Itulah sebabnya RSF datang dengan projek yang disebut Inisiatif Kepercayaan Wartawan iaitu untuk mencipta pensijilan produksi media berita yang tidak dikawal oleh kami, tidak dikawal oleh kerajaan, dan tidak dikawal oleh mana-mana platform.

"Bagi saya, mekanisme seperti ini sangat penting," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS