Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Format baru isytihar harta ahli parlimen sudah dimuktamadkan

Format baru pengisytiharan aset anggota pentadbiran kerajaan serta ahli parlimen sudah dimuktamad dan akan dibawa untuk penelitian lanjut jemaah menteri dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran berkata cadangan format baru itu dibentang dan dipersetujukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional siri dua yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 8 Jan lepas.

Katanya format itu adalah penambahbaikan daripada konsep pengisytiharan aset oleh ahli parlimen yang pernah dilakukan pada 2018.

“Berbanding 2018, kita hanya isytihar apa harta kita ada dan nilainya.

"Kali ini ia lebih tepat dan telus termasuk sekiranya ada aset, ia perlu diisytihar lengkap dengan harga asal dan waktu aset itu diperoleh.

“Seterusnya kena maklumkan juga nilai semasa aset berkenaan. Kemudian kita juga akan lakukan perbandingan harga asal dan nilai semasa sesuatu aset,” katanya.

Kulasegaran berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai Pelan Implementasi Reformasi Institusi pada sesi kamar khas Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai cadangan pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, Kulasegaran berkata, kerajaan sudah memulakan kajian berdasarkan keterangan membabitkan tiga negara iaitu Australia, Kanada dan United Kingdom bagi mendapatkan kaedah amalan terbaik berhubung perkara itu.

Dia berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said juga telah mengadakan perbincangan awal dengan Menteri Keadilan dan Peguam Negara Kanada serta Setiausaha Rendah Parlimen bagi Kementerian Kehakiman United Kingdom, semalam.

“Pertemuan yang diadakan ketika Datuk Seri Azalina menghadiri Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel 2024 di Zanzibar, Tanzania semalam adalah sebahagian daripada permulaan kajian empirikal berkaitan cadangan pengasingan kuasa yang disokong oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Kulasegaran berkata pada masa sama, kerajaan juga melakukan kajian menyeluruh mengenai cadangan untuk menetapkan had tempoh maksimum dua penggal bagi jawatan perdana menteri.

“Ini termasuk giat melakukan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta kajian perbandingan pelaksanaan tempoh perkhidmatan menteri, perdana menteri dan presiden negara luar yang mengamalkan sistem monarki dan raja berperlembagaan serta republik,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS