Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan Cina saja, kaum lain juga perlu digalak sertai perkhidmatan awam - Akmal
Diterbitkan:  Mar 6, 2024 6:27 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh berkata galakan supaya kaum selain Melayu menyertai perkhidmatan awam tidak sepatutnya terhad kepada kaum Cina semata-mata.

Sebaliknya, katanya, kaum lain termasuk masyarakat India juga perlu diberi galakan untuk menyertai perkhidmatan awam di negara ini.

"Pertamanya bukan galak kepada kaum Cina sahaja,ia patut digalakkan kepada kaum India dan kaum-kaum yang lain juga terutama dalam bidang ketenteraan yang kurang penyertaannya di kalangan bukan bumiputera

"Yang keduanya, kita minta kerajaan untuk menghalang mana-mana syarikat swasta di dalam negara ini yang hanya mensyaratkan untuk mengambil pekerja hanya berdasarkan kaum mereka sahaja ataupun syarat untuk tahu berbahasa selain daripada Bahasa Melayu," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Akmal mengulas mengenai kempen kerajaan untuk menggalakkan masyarakat Cina menyertai perkhidmatan awam.

Terdahulu, media melaporkan kempen menggalakkan lebih ramai kaum Cina untuk menyertai perkhidmatan awam akan diadakan di seluruh negara bermula di Melaka Ahad ini.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai berkata, kempen itu diadakan berikutan penyertaan kaum Cina dalam sektor awam masih rendah.

Katanya, semasa kempen itu berlangsung penjawat awam Cina akan berkongsi pengalaman kerja dengan mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada kakitangan awam.

"Kempen itu dianjurkan bersama oleh pejabat setiausaha politik Perdana Menteri dan Media Chinese International Limited.

"Jika tiada apa yang dilakukan, keadaan akan menjadi lebih teruk," ujarnya.

Sementara itu Akmal berkata, mungkin juga selepas ini kerajaan perlu memperhalusi sistem persekolahan satu aliran.

"Mungkin sudah tiba masanya untuk sistem pendidikan satu aliran juga mesti dilaksanakan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS