Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB T'ganu minta penjelasan PM isu tunggakan royalti minyak

Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi penjelasan berhubung tunggakan pembayaran wang royalti minyak negeri Terengganu yang masih belum diterima untuk tahun lalu.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, tindakan melewatkan pembayaran wang royalti kepada kerajaan negeri Terengganu itu merupakan satu penindasan.

Katanya, kerajaan Madani pimpinan Anwar sudah pasti tidak mahu dikenang oleh generasi akan datang sebagai kerajaan yang tidak membayar tunggakan royalti.

“Sehubungan itu, saya meminta penjelasan daripada perdana menteri dan menteri kewangan sila jelaskan kepada kami.

"Apa kebaikan atau objektif yang ingin dicapai oleh kerajaan pusat dengan memberi kesukaran kepada Terengganu sedemikian rupa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 27 Nov tahun lalu, Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, kerajaan Terengganu hanya menerima sebanyak RM510 juta royalti petroleum setakat ini.

Katanya, jumlah itu adalah berbeza berbanding anggaran royalti petroleum atau Wang Ehsan dalam Belanjawan 2023 berjumlah RM1.524 bilion.

"Untuk tahun 2023, kerajaan negeri telah membuat anggaran terimaan wang royalti minyak adalah sebanyak RM1.524 bilion dan yang diterima sehingga kini adalah berjumlah RM510 juta.

"Anggaran (yang belum dibayar Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri) adalah sebanyak RM1 bilion," katanya pada persidangan DUN Terengganu.

Sementara itu, Ahmad Samsuri menggesa semua pihak tidak kira kerajaan mahu pun pembangkang menghentikan politik dendam serta diskriminasi politik.

Katanya, budaya sebegitu tidak memberi keuntungan, sebaliknya hanya membawa kemunduran kepada negara.

“Jika tidak dibendung kitaran ganas ini akan terus berulang dan terus berulang.

"Maka, saya menyeru dan mengajak semua pemimpin politik untuk menghentikan kitaran ganas ini sama ada dari sebelah sini atau dari sebelah sana," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS