Dua pegawai polis dari Bukit Aman menghabiskan masa kira-kira sejam di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, untuk mengambil keterangan daripada Abdul Hadi Awang petang ini.
Bagaimanapun presiden PAS itu tidak menemui wartawan yang menunggu bangunan berkenaan selepas sesi tersebut berakhir.
Menurut setiausaha politik Abdul Hadi, Syahir Sulaiman, kemudian memberitahu ahli parlimen Marang terbabit memberi kerjasama penuh kepada polis.
"Kita (PAS) serah kepada Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya," kata Syahir.
Dia yang juga ahli parlimen Bachok memberitahu, Abdul Hadi mengambil maklum mengenai penubuhan pasukan petugas khas yang menjalankan siasatan kes-kes melibatkan isu 3R.
"Di pihak tuan guru (Abdul Hadi) kami beri komitmen untuk bekerjasama sepenuhnya," kata Syahir lagi.
Abdul Hadi kini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kenyataannya yang menyentuh raja-raja Melayu beberapa hari lalu.
Kenyataan dibuat Abdul Hadi itu juga menarik perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menzahirkan rasa amat dukacita baginda.
Menurut Syahir ada "banyak" soalan yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat dalam pertemuan mereka dengan Abdul Hadi petang ini.
Menjawab pertanyaan wartawan mengenai jumlah soalan yang dikemukakan kepada Abdul Hadi, Syahir menjawab: "Soalan boleh tahan juga banyaknya, ada beberapa muka surat."
Ditanya lanjut sama ada Abdul Hadi menjawab setiap soalan yang dikemukakan atau tidak, Syahir tidak memberikan jawapan yang pasti sebaliknya menegaskan pihaknya menyerahkan ia kepada Bukit Aman.
"Kita jawab kepada Bukit Aman, tapi tuan guru akan beri kerjasama penuh," katanya dengan menambah ia tertakluk kepada keadaan kesihatan Abdul Hadi.
Kata Syahir, kalau keadaan mengizinkan Abdul Hadi sedia untuk memberikan kerjasama penuh.
Pada masa sama dia menjelaskan baru-baru ini keadaan Abdul Hadi tidak mengizinkan sehingga dia terhalang untuk hadir pada hari pembukaan sidang parlimen yang dirasmikan pembukaannya oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Sementara itu ditanya mengenai kandungan surat Abdul Hadi yang dikirimkan kepada Sultan Sharafuddin, Syahir berkata, biarlah ia hanya diketahui pihak pemimpin PAS itu dengan istana.
"Kita patut menghormati itu," katanya.