Menteri Ekonomi Rafizi Ramli membidas pempengaruh media sosial Lim Sean See yang mempersoalkan mengapa Rafizi 'bertangguh' dalam menetapkan pertemuan podcast antara mereka.
"Lim Sian See ni ada sedikit entitlement. (Dia ingat) dialah manusia paling penting dalam dunia ni, sebab dia orang penting kem Najib (Razak) dulu.
"Saya baru dua minggu spinal operation pun tak penting, asal kena layan dia sebab dialah orang paling penting dalam dunia ni,” sindir Rafizi dalam catatan di platform media sosial X.
Lim Sean See dipercayai nama samaran yang digunakan di media sosial oleh individu yang merupakan sebahagian daripada komunikasi strategik BN ketika Najib menjadi perdana menteri menjelang pilihan raya umum 2018.
"MC (cuti sakit) saya selepas spinal operation sehingga 1 Mac. Minggu ni banyak benda nak catch up. Minggu depan dah Ramadan - waktu malam orang solat terawih, bukan berpodcast dengan Lim Sean See.
"Tunggulah lepas Ramadan, dan lepas urusan-urusan lain yang lebih mendesak," tambah Rafizi.
Timbalan presiden PKR itu mengulas laporan FreeMalaysiaToday yang memetik Lim berkata dia masih menunggu kem Rafizi mengatur penampilannya di podcast menteri ekonomi itu.
Pada 19 Feb, Rafizi berkata bahawa dia bersedia untuk berdepan dengan wakil bekas perdana menteri Najib dalam podcast "Yang Bakar Menteri" (YBM).
Rafizi berkata dia juga bersedia untuk mendedahkan identiti propagandis utama Najib.
Bagaimanapun, Rafizi berkata dia perlu mendapatkan pandangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu sebelum meneruskan idea itu.
“Saya terbuka untuk bertemu dengan mereka (kem Najib) secara bersemuka di podcast selepas saya menerima maklum balas daripada Anwar dan Zahid. Saya menghormati pandangan mereka (PM dan TPM) demi menjaga integriti kerajaan Madani.
“Jika mereka (Anwar dan Zahid) tidak ada sebarang bantahan, saya berbesar hati untuk mendedahkan wajah sebenar watak yang menjalankan kempen propaganda mempertahankan 1MDB selama ini, yang berselindung di sebalik nama Lim Sian See,” katanya.
Menjawab kenyataan Rafizi, Lim berkata bahawa tidak ada keperluan untuk Rafizi mendapatkan persetujuan Anwar dan Zahid sebelum bertukar pendapat dengannya
“Saya bukan ahli Umno atau BN,” katanya.