Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid tarik usul ‘gantung’ lepas Wan Saiful mohon maaf pada Agong, PM

PARLIMEN l Kerajaan hari ini membatalkan usul untuk menggantung ahli parlimen pembangkang Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) daripada sidang Dewan Rakyat kerana mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyalahgunakan kuasa.

Ini susulan permohonan maaf yang dibuat oleh pemimpin Bersatu itu ketika diberi kesempatan mencelah oleh speaker Johari Abdul kepada perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Wan Saiful Wan Jan

“Ayat itu memang saya tujukan kepada YAB Tambun (Anwar)... saya tarik balik ayat tersebut, saya tarik balik kenyataan saya dan saya juga memohon maaf atas kenyataan tersebut.

“Saya dengan rendah diri juga kerana seperti dalam usul ada sebut mengenai Yang di-Pertuan Agong atas segala kekhilafan sekiranya menyentuh perihal Yang di-Pertuan Agong dan saya juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.

“Saya harap ia boleh dipertimbangkan dengan baik oleh Yang di-Pertua,” kata Wan Saiful.

Johari kemudiannya mengalu-alukan permohonan maaf pembangkang itu.

Johari Abdul

“Ini bermaksud telah mohon maaf pada Tambun dan menarik balik kenyataan itu. Yang kedua, YB juga telah memohon keampunan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong kerana telah menyebut untuk itu saya terima.

“Dan menteri, saya anggap kita boleh selesaikan masalah ini dan permohonan maaf telah dibuat secara terbuka dan saya harap menteri juga boleh menerima keadaan ini,” kata Johari.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk), yang memfailkan usul itu di Dewan Rakyat, berkata dia bersetuju menarik balik usul tersebut.

"Saya mohon menarik balik usul nombor 1 pada aturan mesyuarat hari ini,” kata Zahid.

Wan Saiful kemudiannya merakamkan penghargaannya kepada speaker dan Zahid.

Apa yang berlaku diterima baik oleh ahli parlimen dari kedua-dua belah pihak, namun Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengingatkan bahawa ia sepatutnya menjadi pengajaran dan perkara seperti itu tidak sepatutnya berulang.

Semalam, dilaporkan kerajaan mahu Wan Saiful digantung enam bulan berhubung dakwaannya terhadap Anwar.

Menurut kertas aturan urusan mesyuarat di Dewan Rakyat hari ini, Ahmad Zahid dijadual mengemukakan usul untuk menggantung Wan Saiful.

Wan Saiful membuat kenyataan tersebut Rabu lalu ketika membahaskan titah titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Parlimen.

Berdasarkan hansard Parlimen - Wan Saiful mengulas titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membanteras rasuah sebelum baginda dilantik sebagai Agong pada Disember lalu.

"Korup itu maksudnya menyalahgunakan kuasa. Ampun Tuanku, orang itu yang menyalahgunakan kuasa itu akan menghadap Tuanku setiap minggu sebelum mesyuarat kabinet," kata ahli parlimen itu.

Kenyataan itu jelas merujuk kepada Anwar selaku perdana menteri, yang mengadakan mesyuarat pra-kabinet dengan Yang di-Pertuan Agong setiap minggu.

Dakwaan itu mencetuskan kekecohan, sehingga memaksa Wan Saiful menarik balik kenyataannya atas arahan speaker.

Dalam ucapannya, Wan Saiful juga mendakwa dia ditawarkan habuan termasuk peruntukan RM1.7 juta jika menyokong Anwar, dan pertuduhan rasuah ke atasnya juga akan digugurkan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS