Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helikopter yang dikendali oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terhempas di perairan Pulau Angsa, Klang, Selangor namun tiada kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Kapten Norazman Mahmud dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian itu membabitkan helikopter model AW139 nombor pendaftaran M72-01 yang membawa empat orang termasuk juruterbang.
“Helikopter berkenaan telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 9.10 pagi bagi latihan penerbangan.
“Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada 9.20 pagi namun tiada panggilan kecemasan diterima,” katanya.
Beliau berkata Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur di Pusat Kawalan Trafik Udara diaktifkan serta-merta untuk mengenal pasti lokasi helikopter terbabit sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu.
Norazman berkata semua mangsa diselamatkan dengan helikopter penyelamat yang kemudian mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 10.58 pagi.
“Siasatan akan dijalankan oleh Lembaga Siasatan APMM,” katanya.