Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM minta Wan Saiful tampil dalam tempoh seminggu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan tempoh seminggu kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk tampil membuat laporan berhubung pendedahan bahawa beberapa individu menawarkan ganjaran kepadanya jika menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata ini kerana adalah menjadi tanggungjawab bagi mana-mana individu yang mendakwa ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan berlandaskan undang-undang di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009 untuk tindakan selanjutnya.

“Saya tidak boleh umumkan sekarang apa tindakan (sebenar) yang akan dibuat (sekiranya tidak lapor), kita masih lagi menunggu laporan beliau, segala kemungkinan boleh diambil (kemungkinan memanggil ke SPRM).

Apabila beliau (Wan Saiful) menyebut di Parlimen iaitu dalam dewan yang mulia (Dewan Rakyat) mengenai tohmahan rasuah yang ditawar kepada beliau maka sebenarnya jadi tanggungjawab beliau sendiri untuk buat laporan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

“Bukan masalah (kerja) kami nak cari. Beliaulah kena datang...(sebagai contoh) kalau kita ditawar rasuah, kita sendiri lah kena datang ke pejabat SPRM atau balai terdekat, takkan SPRM nak pergi jumpa dan ambil bawa ke pejabat, begitulah kaedahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Bicara Eksekutif Antirasuah bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan ke-15 yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.

Mengenai kes menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, Azam berkata setakat ini pihaknya belum berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk menuduh di mahkamah tanpa kehadirannya.

“Ia bukan pilihan utama (tuduh tanpa kehadiran), kita perlukan orang ada di sini untuk dituduh di mahkamah. Belum lagi peringkat sekarang tapi memang saya ada garis masa kepada pegawai...bila sampai masa, sekiranya keadaan memerlukan, perbincangan akan dibuat,” katanya.

Beliau berkata keberadaan Muhammad Adlan masih belum dapat dikesan ketika ini, bagaimanapun pihaknya turut meminta bantuan Interpol selain sedang mengusahakan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa luar negara.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Adlan dan peguam Mansoor Saat sedang dikesan oleh SPRM bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian setelah dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 dan 21 Mei 2023.

Sementara itu, Azam berkata tiada sebarang laporan diterima terdapat ADUN atau Exco di Negeri Sembilan terlibat dengan gejala rasuah setakat ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS