Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib tiada dalam senarai tahanan di rumah - Saifuddin

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara tiada dalam senarai banduan yang akan menjalani hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Menteri itu memberitahu Malaysiakini bahawa program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) hanya menyenaraikan tahanan yang menjalani hukuman penjara kurang dari empat tahun, warga emas, wanita hamil dan orang kurang upaya (OKU).

"Najib tak masuk senarai itu.

"KDN nak buat untuk yang penjara empat tahun dan warga emas, ibu mengandung dan OKU," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan KDN bersetuju secara prinsip untuk inisiatif tersebut bertujuan mengurangkan kesesakan di penjara, bukan untuk disalahgunakan oleh pemimpin yang disabitkan kesalahan.

Saifuddin juga menolak dakwaan dasar tahanan rumah bertujuan untuk membolehkan Najib menjalani baki tempoh hukuman penjara dengan selesa, menyifatkannya sebagai berniat jahat.

"Saya mahu menyangkal naratif 'nakal' yang dimainkan oleh media tertentu yang mendakwa pelaksanaan tahanan rumah bertujuan untuk meletakkan Najib di bawah tahanan rumah.

"Ia sangat nakal sehingga mereka tidak dapat melihat perspektif mengurangkan kesesakan penjara.

"Walaupun, pelaksanaannya disasarkan khusus untuk kategori banduan tertentu, akan ada panel akan membuat penilaian, dan jenis kesalahan yang dicadangkan hanyalah yang dijatuhkan hukuman penjara kurang empat tahun.

"Jika seseorang dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun kerana jenayah berat, mereka tidak akan mudah diberikan ‘home detention’,” katanya dipetik sebagai berkata pada sidang media di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta di Ipoh awal hari ini.

Dia juga memberi jaminan bahawa inisiatif itu tidak akan menimbulkan ancaman kepada masyarakat kerana akan ada panel dan proses untuk mengakses setiap kes banduan.

Awal hari ini, NGO Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama) menyoal Putrajaya sekiranya tahanan dalam rumah boleh "menjadi satu keistimewaan atau 'lorong keutamaan' untuk penjenayah berkuasa, atau lebih teruk, disalahgunakan sebagai cip tawar-menawar dalam perjanjian politik."

Badan pemantau reformasi institusi itu seterusnya menuntut kertas putih dibentangkan di parlimen sebelum sebarang pelaksanaan oleh kerajaan bagi mengelak berlakunya pilih kasih.

Sebelum ini, Bernama melaporkan kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk melaksanakan Pembebasan Berlesen Banduan, melalui tahanan di rumah bagi banduan yang menjalani hukuman penjara empat tahun ke bawah, sebagai usaha mengurangkan kesesakan di penjara.

Saifuddin berkata kementeriannya sedang dalam proses meneliti kaedah pelaksanaan daripada sudut peruntukan undang-undang berkaitan serta sama ada undang-undang dan peraturan sedia ada perlu dipinda atau tidak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS