Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO: Tahanan rumah untuk bebaskan banduan berkuasa seperti Najib?
Diterbitkan:  Mar 4, 2024 9:57 AM
Dikemaskini: 6:21 AM

Badan pemantau reformasi institusi Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama) hari ini memberi amaran bahawa program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah (home detention) kepada “sesetengan banduan” boleh disalahgunakan untuk membebaskan banduan berkuasa seperti bekas perdana menteri Najib Razak.

Sehubungan itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menggesa kerajaan supaya membentangkan kertas putih mengenai topik berkenaan sebelum pelaksanaannya untuk mengelakkan dwi standard ke atas banduan.

Katanya, jika tahanan rumah akhirnya digunakan oleh Najib yang disabitkan kesalahan rasuah dan penyelewengan membabit dana berkaitan 1MDB sebagai kad untuk "keluar penjara", defisit kepercayaan rakyat terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani akan terus menjunam.

“Ringgit akan terus berdepan tekanan dan merudum jika kerajaan Madani dilihat berada di bawah tawanan bukan sahaja ‘elit’, tetapi ‘banduan’.

“Kertas putih itu mesti membentangkan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang, dan ancaman) mekanisme ini, maklum balas daripada pihak berkepentingan, dan yang paling penting, menunjukkan proses yang telus, konsisten, profesional dan bertanggungjawab untuk menentukan mereka yang layak, ” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Projek Sama seterus mempersoalkan bagaimana "sesetengah banduan" itu akan dipilih?

“Di banyak negara, tahanan rumah dan hospital telah disalahgunakan untuk membebaskan banduan kaya dan berkuasa daripada pemenjaraan, manakala banduan dari latar belakang biasa sering dinafikan atau tidak diberi keutamaan untuk peluang sedemikian.

"Kertas putih yang ketat akan membina keyakinan orang ramai bahawa tahanan rumah tidak akan menjadi satu keistimewaan atau 'lorong keutamaan' untuk penjenayah berkuasa, atau lebih teruk, disalahgunakan sebagai cip tawar-menawar dalam perjanjian politik," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata bahawa kertas putih itu mesti dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen sebelum sebarang perubahan dibuat kepada undang-undang, undang-undang kecil atau perintah pentadbiran.

Sabtu lalu, Saifuddin berkata penghuni penjara yang bakal terlibat bagi program berkenaan adalah daripada individu yang berpenyakit kronik, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu mengandung.

Katanya, KDN kini dalam proses meneliti kaedah pelaksanaan inisiatif itu dari sudut peruntukan undang-undang berkaitan bagi memastikan sama ada akta serta peraturan sedia ada perlu digubal atau tidak.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS