Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Misi baru cari MH370: K'jaan sedia jumpa Ocean Infinity - Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini mengulangi komitmen kerajaan bagi memulakan semula operasi pencarian genap 10 tahun kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines MH370.

Secara spesifik, Loke berkata pihaknya akan mendapatkan persetujuan kabinet untuk kerajaan menandatangani kontrak baru dengan syarikat robotik marin berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity Ltd.

"Pendirian kerajaan Malaysia adalah konsisten - kami akan mempertimbangkan lanjutan operasi pencarian apabila maklumat baru dan bukti yang boleh dipercayai diperoleh.

"Untuk tujuan ini, saya telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk menjemput Ocean Infinity ke Malaysia untuk memberikan taklimat kepada saya mengenai cadangan 'tiada penyelesaian, tiada bayaran'," kata Loke pada majlis peringatan ulang tahun ke-10 peristiwa tersebut yang diadakan di Subang Jaya.

"Kami kini sedang menunggu mereka memberikan tarikh bersesuaian dan saya berharap dapat bertemu dengan mereka segera," katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Loke, kerajaan tidak keberatan untuk meneruskan operasi pencarian pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anggota krew itu.

Dia berkata kerajaan menjangkakan bahawa pesawat yang hilang itu akan ditemui juga pada akhirnya.

"Jika mereka dapat menemukan pesawat tersebut, kosnya adalah sesuatu yang harus ditanggung kerajaan," tambahnya.

Acara peringatan dan pameran hari ini juga turut mengumpulkan waris serta ahli keluarga yang berkongsi kenangan dan harapan mereka untuk masa depan.

Pesawat Malaysia Airlines MH370 dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014, sebelum hilang dari imbasan radar.

Pencarian dalam laut di sekitar Lautan Hindi meliputi kawasan seluas 120,000km persegi dan menelan perbelanjaan sekitar RM605 juta.

Bagaimanapun, pencarian itu dihentikan pada Januari 2017.

Malaysia kemudiannya menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity Limited pada Januari 2018, pada masa itu untuk memulakan pencarian baru untuk MH370.

Syarikat penerokaan dasar laut itu memulakan operasi selama tiga bulan untuk mencari pesawat tersebut berdasarkan terma “no cure, no fee” yang bermakna pembayaran hanya dibuat jika pesawat tersebut ditemukan.

Pada 2022, menteri pengangkutan ketika itu, Wee Ka Siong berkata Ocean Infinity bersedia menyambung operasi pencarian pesawat MH370 jika diminta berbuat demikian.

Namun, kata Wee kerajaan berpendirian untuk melanjutkan operasi baru jika memperolehi 'bukti baru yang boleh dipercayai'.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS