Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafidah: Fahmi kata dia tak terlibat isu hantaran Facebook disekat
Diterbitkan:  Mar 3, 2024 12:44 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Bekas menteri Rafidah Aziz berkata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan kepadanya yang dia tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk menyekat satu hantaran Facebooknya.

Ia selepas Rafidah mendakwa media sosialnya ditapis selepas salah satu catatan Facebooknya pada 27 Februari lalu, mengenai layanan terhadap pesara kerajaan di Institut Jantung Negara (IJN) "disekat" daripada khalayak di Malaysia.

"Dia (Fahmi) kata dia tak terlibat dalam arahkan (Facebook) untuk sekat (hantaran," katanya kepada Malaysiakini.

"Mereka (kerajaan) takut pada bayang-bayang sendiri," katanya lagi.

Rafidah mempertahankan hantarannya itu, berkenaan dakwaan discaj "tidak adil" pesara kerajaan daripada IJN, ketika mereka masih memerlukan penjagaan khusus yang hanya boleh diberikan oleh institut itu.

"Ini bukan berita palsu. Ia adalah fakta berkenaan mereka yang dibunag daripada senarai pesakit jantung IJN.

"Ia tak boleh dinafikan," kata Rafidah.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan IJN tidak menolak pesara.

Memetik jawapan Dzulkefly, pegawai tugas-tugas khas kepada Fahmi, Farhan Zulkefly berkata Kementerian Kesihatan melaporkan hantaran Rafidah kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas Facebook mengesahkan ia mengandungi "berita palsu".

Dalam ciapan di X, Farhan berkata Rafidah boleh membuat rayuan kepada Facebook berkenaan hantaran itu.

Namun Rafidah menjawab, "tiada keperluan untuk buat rayuan (kepada Facebook), buang masa".

Hantaran asalnya mengulas surat yang diterbitkan oleh laman CodeBlue, mengenai seorang pesara yang tidak disebutkan namanya yang mendakwa dia didiscaj selepas menerima penjagaan rapi di IJN, menurutnya berikutan arahan kerajaan agar semua penjawat awam dan pesara perlu dihantar ke pusat jantung KKM yang terdekat dengan rumah mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS