Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kecewa dunia komik, Ujang jumpa ketenangan di Tasik Kenyir

WAWANCARA | Kartunis dan pelukis Ujang atau nama sebenar Ibrahim Anon nekad meninggalkan industri penerbitan komik yang diceburi sejak remaja selepas sering disaman atas dakwaan “mencuri hak cipta”.

Ujang berkata dia kini lebih selesa menggunakan bakatnya untuk mempromosikan program pelancongan agro dan destinasi pelancongan tempatan.

"Saya gunakan bakat melukis kartun untuk promosikan pelancongan di Tasik Kenyir dengan pertandingan memancing. Alhamdulillah, saya rasa lebih tenang," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, hampir 16 tahun dia mengusahakan program pertandingan memancing Casting Monsoon peringkat antarabangsa yang turut mendapat kerjasama badan pelancongan kerajaan Terengganu dan Tourism Malaysia.

Ketika diwawancara baru-baru ini, Ujang mengimbas kembali ketika dia mendapat tawaran daripada sebuah syarikat swasta untuk menerbitkan siri animasi TV pertama negara - Usop Sontorian.

Siri animasi Usop Sontorian direka Ujang bersama Allahyarham Kamn Ismail terbitan Kharisma Pictures Sdn Bhd dan turut dilancarkan pada 20 Januari 1996 oleh Menteri Penerangan ketika itu, Allahyarham Mohamed Rahmat.

Namun, imbasnya, setelah siri animasi tersebut siap mereka berdepan masalah untuk mendapatkan slot tayangan TV.

"Setahun tak dapat ditayangkan. Jadi, dari situlah timbulnya idea untuk menerbitkan majalah lawak Ujang," katanya yang bermula sebagai kartunis pada umur 17 tahun bersama sebuah majalah humor terkenal era 80an hingga 90an, Gila-Gila.

Nasib menyebelahinya, apabila majalah tersebut 'meletup' hingga mencecah hampir 300,000 ribu keluaran setiap bulan dan ditambah dengan siri animasi yang terbit beberapa bulan kemudian, segalanya tampak berjalan lancar buatnya.

Asal lukis, kena saman

Bagaimanapun, panas yang disangka ke petang, rupanya hujan di tengah hari apabila penerbitan majalah tersebut berdepan pelbagai masalah daripada tunggakan gaji sehinggalah kepada dia disaman atas tuduhan “mencuri hak cipta” ke atas watak kartun yang dicipta olehnya sendiri.

Dakwa Ujang, semua hasil karyanya telah didaftarkan oleh pihak lain dan dirinya turut “ditipu” mengenai kontrak perjanjian dan hak royalti ke atas watak kartun ciptaannya.

"Saya mendapat hampir 19 saman ketika itu. Antaranya tuduhan mencuri hak cipta, pelanggaran tanda dagangan dan pelanggaran hak cipta kartun yang saya cipta sendiri.

"Memang tidak pernah menyangka hal sedemikian boleh berlaku tapi ia jadi satu pengajaran berguna untuk saya sekarang," tambah Ujang.

Tetapi Ujang tidak putus semangat, sebaliknya, dia cuba menerbitkan beberapa majalah lain antaranya majalah Varia Lawak, Lanun dan Lubuk namun kemudian turut berdepan masalah sama.

"Saya menerima perintah injunksi dan majalah yang saya terbitkan terpaksa ditarik balik dari pasaran hinggakan lukisan pada kad hari raya pun disaman.

"Walaupun majalah-majalah ini mendapat keuntungan tapi oleh kerana kerap disaman, saya terpaksa tutup (hentikan operasi) dan balik kampung.

"Umpamanya, asal saya lukis saja, kena saman," katanya lagi.

Perlindungan hak cipta

Sepanjang 42 tahun mengharungi liku dan cabaran dalam industri komik negara, Ujang merasakan industri tersebut akan malap dengan sendirinya.

Ini kerana katanya, tidak banyak pihak yang memperjuangkan nasib industri komik serta kepentingan menjaga hak cipta kepada penggiat seni dan artis.

"Kita ambil contoh isu harta intelek (IP) - tiada pendedahan yang bersungguh-sungguh dibuat atau kempen kesedaran kepada orang ramai. Jika pergi pada ejen pula, akan dikenakan harga tinggi.

"Waktu saya dahulu siapa yang bantu? Hampir 23 tahun naik turun mahkamah, ada ada mana-mana pihak bantu? Memang silap saya sebab tidak ambil tahu dan tidak memahami proses perundangan dan hak cipta.

"Tapi hampir 80 peratus penggiat seni juga tidak sedar akan kepentingan hak cipta bagi karya mereka.

"Kita mudah percaya pada orang atau rakan baik tetapi apabila jadi begini, siapa yang akan tolong kita?" ujarnya.

Ketika ditanya pandangan adakah kerajaan perlu mewujudkan undang-undang khas bagi melindungi hak dan harta intelek penggiat seni, Ujang menjawab dia tidak mengambil kisah tentang hal itu.

"Saya dah tak peduli perkara ini (wujud undang-undang khas) kerana karya saya sendiri tak dilindungi dan masih (ada) dimanipulasi.

"Satu Malaysia tahu majalah Ujang saya yang buat (cipta) tetapi orang lain yang keluarkan (ada hak)," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS