Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peniaga maut kemalangan, tak sempat sertai RXZ Fighter

Seorang peniaga pasar malam maut ketika dalam perjalanan menuju ke Kuantan, Pahang, bagi menyertai program RXZ Fighter anjuran Kerajaan Pahang dan Kelab Sukan dan Rekreasi Daerah Bera, pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Lokman Abdul Aziz, 29, yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak disahkan maut selepas motosikal jenis RXZ ditunggangnya terbabas di Kilometer 166.6 Lebuh raya Pantai Timur, dekat Maran.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu jam 11.06 pagi tadi.

"Berdasarkan maklumat diperoleh daripada rakan mangsa, mereka bertolak dari Kuala Kangsar, Perak awal pagi tadi untuk ke Kuantan bagi menyertai acara berkenaan.

"Sekitar jam 10.55 pagi, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikal ditunggangnya mengakibatkan ia terbabas ke bahagian kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang jalan.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan dari Hospital Temerloh yang tiba di lokasi bagi memberi bantuan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad Zamri memaklumkan, motosikal ditunggang mangsa berada di bahagian paling belakang dalam konvoi yang membabitkan 14 motosikal jenis Yamaha RXZ itu sebelum kemalangan berlaku.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Program RXZ Fighter selama dua hari itu adalah julung kali diadakan di Pahang bagi mengumpul peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara.

Kerajaan Pahang menganggarkan kira-kira 50,000 peminat jentera roda dua menyertai program yang bermula hari ini dan esok di perkarangan Serambi Teruntum, dekat Kuantan.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program yang turut menyediakan hadiah cabutan bertuah sebuah motosikal Ducati Panigale V4S dan dua motosikal Yamaha RXZ.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS