Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Kematian kanak-kanak autistik di tasik tiada unsur jenayah

Polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam kes kematian seorang kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas di sebuah taman tasik rekreasi di Sea Park, Petaling Jaya, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata hasil bedah siasat yang dijalankan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh semalam mendapati tiada kesan kecederaan atau penderaan pada anggota badan mangsa yang berusia lima tahun.

“Doktor mengklasifikasikan punca kematian mangsa adalah mati lemas dan siasatan di lokasi kejadian tidak menjumpai sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Susulan itu, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut namun Shahrulnizam berkata pihaknya meneruskan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian dan kecuaian oleh penjaga.

Shahrulnizam berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa yang juga merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) autisme kira-kira 6.30 petang, dua hari lalu.

Dia berkata mangsa dikatakan hilang ketika bermain di kawasan rekreasi terbabit bersama kembarnya sementara bapa mangsa didakwa tertidur semasa sedang memerhatikan anaknya.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya ditemukan terapung di permukaan tasik iaitu kira-kira empat meter dari tebing tasik pada 6.50 petang oleh orang awam.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS