Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan sasar bentang akta tangani amalan Ali Baba akhir tahun ini

PARLIMEN | Kerajaan kini dalam proses melaksanakan kajian kerangka Akta Anti-Ali Baba dan menyasarkan akta itu dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada akhir 2024, kata Kementerian Ekonomi.

Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang parlimen hari ini, kementerian berkata proses kajian itu termasuk mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan.

“Tujuannya bagi mendapatkan perspektif yang jelas mengenai isu berkaitan Ali Baba. Ini berikutan isu berkenaan merentasi pelbagai sektor serta (memerlukan) tindakan undang-undang yang bersesuaian,” katanya.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Datuk Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai perkembangan terkini berkaitan perkara itu dan soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) berhubung rasional memperkenalkan akta terbabit.

Pada Disember lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan sedang mempertimbangkan undang-undang anti-Ali Baba yang membolehkan tindakan tegas diambil terhadap rakyat tempatan yang ‘menyewakan’ lesen perniagaan kepada pekerja asing tanpa menepati syarat ditetapkan.

Dalam pada itu, Kementerian Ekonomi berkata cadangan Akta Anti-Ali Baba itu dibuat selepas kerajaan mendapati tiada undang-undang berkaitan pada masa ini yang dapat membendung isu terbabit secara menyeluruh dan berkesan.

Malah, akta sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, Akta Persaingan 2010, Akta Syarikat 2016 serta undang-undang kecil sedia ada masih tidak mencukupi untuk membendung aktiviti Ali Baba.

“Kerajaan juga mendapati perlakuan atau aktiviti Ali Baba ini boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi dengan meningkatkan kos operasi, menjejaskan kualiti produk dan perkhidmatan serta melebarkan jurang ketidaksamaan dalam masyarakat atau ekonomi,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS